Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu esok

Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu esok

Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu dijadualkan esok di Istana Negara sebagai usaha Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah merungkai kemelut pembentukan kerajaan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadli Shamsuddin, berkata perbincangan khas itu bertujuan membolehkan Al-Sultan Abdullah mendapatkan pandangan Raja-Raja Melayu dalam membuat keputusan mengenai pelantikan Perdana Menteri ke-10.

Katanya, perbincangan dengan Raja-Raja Melayu itu diadakan selepas Yang Di-Pertuan Agong menerima menghadap wakil pimpinan Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pagi tadi.

Terdahulu, tiga wakil pimpinan tertinggi BN dan empat pimpinan kanan GPS hadir ke Istana Negara untuk menghadap Yang Di-Pertuan Agong.

Ia selepas Al-Sultan Abdullah menitahkan supaya 30 Ahli Parlimen BN menghadap Baginda pada jam 10.30 pagi hari ini, namun mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam tadi memutuskan memohon penangguhan kedua daripada Istana Negara untuk sesi menghadap semua Ahli Parlimen berkenaan.

Petang semalam, Baginda mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, selepas kedua-duanya gagal menerima sokongan majoriti mudah 112 Ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadli memaklumkan, semua proses yang dilaksanakan Al-Sultan Abdullah dalam memilih Perdana Menteri pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), adalah selaras Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )