Penyatuan Ummah PAS hanya retorik, kenapa kembali berbicara tentang MN?

Penyatuan Ummah PAS hanya retorik, kenapa kembali berbicara tentang MN?

Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed mempersoalkan, mengapa parti berkenaan tiba-tiba berbicara kembali mengenai kerjasama MN selepas dilihat selesa bersama Perikatan Nasional (PN).

Beliau turut mempersoalkan sama ada pendirian PAS untuk kembali semula bersama UMNO itu dibuat selepas melihat kegagalan teruk mereka ketika bersama PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Sabtu lalu.

“Cukup-cukuplah PAS berdrama mengenai kerjasama MN dan UMNO ini.

“Lepas dua tahun pengalaman MN dan mendalami tingkah laku pemimpin PAS, saya bertambah yakin bahawa UMNO sahaja yang ikhlas memperjuangkan kepentingan Islam serta orang Melayu.

“Selama ini, PAS yang selalu cabuli semangat MN, PAS cabar maruah dan angkuh dengan UMNO tetapi tiba-tiba bila sudah terhantuk baru hendak sebut balik pasal kerjasama,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, PAS menerusi Naib Presidennya, Senator Idris Ahmad memaklumkan parti berkenaan dijangka menentukan hala tuju parti itu sama ada terus bersama PN, MN dalam tempoh terdekat.

Perkara itu dipercayai dibangkitkan pelbagai pihak susulan kegagalan parti berkenaan meraih sebarang kerusi ketika bersama gagasan PN dalam PRN Melaka.

Nur Jazlan turut mendakwa bahawa agenda perpaduan ummah yang dilaungkan oleh PAS sebelum ini hanya retorik politik apabila parti itu lebih mengejar jawatan dan kuasa ketika bersama PN.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )