Pengundi Gombak gagal kembalikan saman terhadap Azmin

Pengundi Gombak gagal kembalikan saman terhadap Azmin

Sepuluh pengundi berdaftar Parlimen Gombak gagal mendapat kebenaran merayu daripada Mahkamah Persekutuan, bagi mengembalikan semula saman mereka terhadap Ahli Parlimen Gombak, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali atas dakwaan menipu dan melanggar kewajipan fidusiari.

Panel tiga Hakim yang diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed hari ini menolak permohonan pengundi itu, bagi membolehkan mereka meneruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Dalam keputusan sebulat suara itu, Azahar berkata, persoalan undang-undang yang dikemuka oleh Peguam pengundi itu untuk penentuan Mahkamah Persekutuan, tidak memenuhi keperluan Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Beliau tidak membuat sebarang arahan mengenai kos dengan mengatakan perkara itu kes kepentingan awam.

Dalam prosiding secara dalam talian, Peguam K Shanmuga yang mewakili pengundi mengemuka empat persoalan undang-undang, dengan menegaskan isu yang terbabit sama ada seorang Ahli Parlimen yang membuat representasi semasa pilihan raya, boleh melanggar janji yang dibuatnya.

Bagaimanapun, Peguam Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid yang mewakili Mohamed Azmin, berhujah bagi memperoleh kebenaran, pemohon perlu meyakinkan mahkamah persoalan undang-undang adalah baharu, mempunyai kepentingan awam dan dibangkitkan buat kali pertama, seperti dikehendaki mengikut Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman.

Pengundi itu mahu saman mereka terhadap Mohamed Azmin dikembalikan dan dihantar semula ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan. Saman itu dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 13 April lalu, selepas membenarkan rayuan Mohamed Azmin.

Pada 27 November 2020, 10 pengundi itu memfailkan saman terhadap Mohamed Azmin, yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, atas dakwaan menipu dan melanggar kewajipan fidusiari menerusi ‘Langkah Sheraton’ yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan tumbang pada Februari 2020.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, pengundi antara lain memohon pengisytiharan Mohamed Azmin selaku Ahli Parlimen Gombak, telah melanggar kewajiban fidusiarinya, menipu serta memungkiri representasi yang dibuat kepada mereka dalam pilihan raya umum bagi kawasan berkenaan.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )