Pengesahan lafaz cerai MB Perlis 25 Ogos

Pengesahan lafaz cerai MB Perlis 25 Ogos

Mahkamah Rendah Syariah hari ini, menetapkan 25 Ogos depan untuk perbicaraan pengesahan lafaz cerai Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man terhadap isterinya, Sova Ali.

Hakim Syarie Abdullah Zuhdee Ab Halim menetapkan tarikh itu selepas Peguam Syarie, Nurul Atikah Abd Rashid yang mewakili Azlan selaku defendan memberitahu bahawa anak guamnya, tidak hadir kerana mempunyai urusan kerja yang tidak dapat dielakkan.

Mendengar perkara itu, Abdullah Zuhdee berkata, mahkamah tidak dapat mengambil kenyataan lisan sama ada defendan bersetuju atau tidak dengan kenyataan plaintif.

Semasa prosiding, Peguam Syarie, Muhammad Syafiq Ibrahim yang mewakili Sova selaku plaintif berkata, pihaknya sudah cuba membuat serahan saman berkenaan namun tidak berjaya selain gagal menghubungi defendan.

Bagaimanapun beliau berkata, serahan saman kepada defendan melalui Peguam Syarie dibuat pada Isnin selepas pihaknya menerima wakalah perlantikan Peguam Syarie defendan.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Muhammad Syafiq berkata, prosiding yang ditetapkan Ogos depan akan menentukan sama ada berlaku lafaz talak atau tidak.

“Serahan saman kepada defendan dibuat sejurus permohonan pengesahan lafaz cerai mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 itu, difailkan bulan lalu,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )