Penduduk Taman Sri Andalas terus desak CAC dipindahkan

Penduduk Taman Sri Andalas terus desak CAC dipindahkan

Pengerusi Surau An Naim Taman Sri Andalas, Saijan Sikon berkata, penduduk Taman Sri Andalas masih menaruh harapan agar pengoperasian Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Dewan Sukan Klang berhampiran lokasi perumahan mereka dipindahkan.

Belaiu mendesak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat keputusan muktamad sama ada CAC berkenaan akan dipindahkan atau sebaliknya.

Saijan berkata, keputusan dibuat KKM dilihat masih ‘tergantung’ berbanding keputusan wakil rakyat yang memaklumkan bahawa CAC berkenaan akan dipindahkan dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, walaupun kehadiran pesakit mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan namun penduduk masih berharap KKM dapat membuat keputusan yang akan memihak kepada penduduk di kawasan terbabit.

“Sekarang ini dari segi pergerakan (pesakit dan petugas) di tempat CAC ini nampak semuanya bergerak dengan baik, mengikut SOP, cuma sekarang kita tunggu keputusan muktamad.

“Keputusan KKM masih ‘tergantung’, tapi Yang Berhormat (wakil rakyat kawasan itu) sudah memberi penjelasan bahawa dalam tempoh terdekat, sebaik mungkin (CAC) akan dipindahkan.

“Jadi ini dua keadaan yang berbeza. Namun besar harapan kami sebagai penduduk di sini agar KKM dapat memutuskan segera,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, keputusan untuk memindahkan CAC itu akan diketahui dalam tempoh dua minggu lagi.

Beliau berkata, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang sedang mempertimbangkan beberapa perkara sebelum membuat sebarang keputusan berdasarkan mesyuarat yang diadakan di PKD Klang pada Isnin.

 

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )