Pemilihan PKR: Pulau Pinang tiada sambutan?

Pemilihan PKR: Pulau Pinang tiada sambutan?

Benarkah proses pengundian secara fizikal untuk pemilihan PKR di 13 cabang di Pulau Pinang hari ini lengang?

Ia dikatakan demikian selepas hanya kira-kira 30 peratus daripada 75,000 ahli tampil menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Penyelaras Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Zon Utara, Amizudin Ahmat bagaimanapun berkata, perkara itu sememangnya sudah dijangka kerana kebanyakan ahli berdaftar sudah menyatakan hasrat untuk mengundi secara dalam talian yang akan bermula 18 hingga 20 Mei ini secara serentak seluruh negara.

Katanya, sememangnya ahli sudah dinasihatkan memilih proses pengundian dalam talian kerana ia lebih memberi kemudahan kepada mereka, di samping mengambil kira keadaan negara yang masih dalam suasana wabak COVID-19 walaupun kini dalam fasa peralihan ke endemik.

“Bagi ahli yang tidak berdaftar untuk mengundi dalam talian mereka diminta mengundi secara fizikal dan jumlahnya tidak ramai.

“Disebabkan itu, pusat pengundian lengang hari ini, kerana banyak ahli pilih untuk mengundi dalam talian pada 18, 19 dan 20 Mei ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Amizudin berkata, secara keseluruhan proses pengundian secara fizikal di Pulau Pinang berjalan lancar walaupun pada awalnya ada sedikit masalah teknikal yang kemudiannya berjaya diatasi sepenuhnya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )