Pembangkang tetap jadi pengkritik

Pembangkang tetap jadi pengkritik

Fungsi dan peranan pembangkang untuk mengkritik serta membuat semak dan imbang terhadap pentadbiran kerajaan tidak berubah meskipun telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik pada Isnin.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pemeteraian MoU itu lahir daripada semangat untuk memfokuskan kepentingan rakyat yang kini sedang bergelut dengan Covid-19.

Menurutnya, apabila dokumen itu didedahkan, rakyat boleh melihat secara objektif tujuan persefahaman itu diwujudkan.

“Kami dalam Pakatan Harapan (PH) terus bebas mengkritik, memberikan teguran, pandangan kepada kerajaan.

“Bahkan, PH kekal di barisan pembangkang untuk semak dan imbang, memberikan pandangan yang konstruktif dan objektif.

“Tetapi dalam masa yang sama, dalam mendepani pandemik ini, rakyat dan juga negara akan jadi keutamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sebaik selesai menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan PH di Parlimen.

 

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )