Pemansuhan hukuman mati mandatori: Antara Janji 27 – Manifesto PH

Pemansuhan hukuman mati mandatori: Antara Janji 27 – Manifesto PH

KANUN menyambut baik keputusan Kerajaan Malaysia untuk memansuhkan hukuman mati mandatori. Keputusan yang dibuat oleh Kerajaan pada hari ini adalah terkandung dalam Janji 27 – Buku Harapan iaitu buku manifesto Pakatan Harapan menjelang PRU 14.

Pengerusi KANUN (Biro Undang-Undang), Parti Amanah Negara, Dr. Zulqarnain Lukman berkata, usaha untuk memansuhkan hukuman mati mandatori ini sebenarnya telah diketuai oleh mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) PH pada ketika itu iaitu Mendiang Dato’ V.K. Liew. Malah, pada waktu itu semua hukuman mati yang telah dijatuhkan juga diberikan moratorium pelaksanaan.

“Walau bagaimanapun, usaha kerajaan PH pada ketika itu mendapat tentangan sebahagian daripada masyarakat termasuklah tentangan daripada parti yang menjadi kerajaan sekarang iaitu daripada Presiden PAS sendiri yang pernah mengeluarkan kenyataan tidak bersetuju pada 16 Oktober 2018.

“Begitu juga, Presiden MCA sekarang pun pernah mengatakan bahawa cadangan pemansuhan hukuman mati ini telah dibuat secara tergesa-gesa dan sepatutnya usaha pemansuhan tol lebih diutamakan.

“Kini, semua pemimpin politik yang membangkang cadangan pemansuhan hukuman mati ini terpaksa menelan ludah mereka sendiri dan mengakui bahawa Janji 27 Buku Harapan berkaitan pemansuhan hukuman mati mandatori ini adalah sesuatu yang benar,” katanya.

Selain itu, KANUN juga menyokong usaha kerajaan untuk memperkenalkan hukuman gantian berbentuk pampasan atau diyat (hukuman gantian dalam Islam) ke dalam sistem undang-undang keadilan jenayah sivil sekarang.

Tambah beliau, melihat kepada tindakan kerajaan Malaysia pada hari ini berkaitan hukuman mati mandatori, KANUN yakin bahawa sekiranya kerajaan PH bertahan sehingga akhir penggal nescaya banyak lagi pembaharuan politik, sosial dan ekonomi khasnya yang dinyatakan dalam Buku Harapan akan menjadi kenyataan.

Justeru, KANUN berharap rakyat Malaysia tidak berputus asa untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih baik pada masa hadapan dan memilih PH sebagai kerajaan dalam PRU15 kelak supaya negara Malaysia akan ditadbir dengan lebih telus dan berintegriti.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )