Pegawai Pengurusan Serba Dinamik dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan pernyataan palsu

Pegawai Pengurusan Serba Dinamik dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan pernyataan palsu

Syarikat penyedia perkhidmatan kejuruteraan minyak dan gas bersepadu, Serba Dinamik Holdings Berhad (Serba Dinamik) dan Pegawai serta Pengurusan Tertingginya, hari ini masing-masing dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mengemukakan pernyataan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad.

Mereka terdiri daripada Pengarah Eksekutif Bukan Bebas, Datuk Syed Nazim Syed Faisal, 41; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Datuk Mohd Abdul Karim Abdullah, 58; Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Azhan Azmi, 39; serta Timbalan Presiden Akaun dan Kewangan, Muhammad Hafiz Othman, 37.

Perkara itu disahkan ketika sebutan kes berkenaan yang dibuat secara berasingan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen iaitu Emelia Kaswati Mohd Khalid, Kamarudin Kamsun, Ahmad Kamar Jamaluddin dan Datin Sabariah Othman, susulan Serba Dinamik mengumumkan syarikat dan empat tertuduh membuat penyelesaian penuh kompaun kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC).

Serba Dinamik, Syed Nazim, Azhan serta Muhammad Hafiz selaku tertuduh didakwa pada 28 Disember lalu, dengan niat untuk menipu, dengan mengemukakan pernyataan palsu yang terkandung dalam ‘Serba Dinamik Holdings Berhad’s Quarterly Report on the Consolidated Results for the Quarter and Year Ended 31 December 2020’.

Mohd Abdul Karim didakwa atas kesalahan sama keesokannya.

Mereka menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 369(a)(B) dibaca bersama seksyen 367(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671) dan boleh dihukum mengikut seksyen 369 akta sama.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM3 juta jika disabitkan kesalahan.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )