PBT Selangor sertai Op Patuh, mohon MKN beri sedikit kuasa

PBT Selangor sertai Op Patuh, mohon MKN beri sedikit kuasa

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berperanan hanya membantu agensi kerajaan Persekutuan untuk membatalkan dan menutup operasi premis perniagaan termasuk kilang.

Menurutnya, PBT tidak mempunyai bidang kuasa sama ada untuk membatalkan, menamatkan atau menarik lesen atau kebenaran secara sewenang-wenangnya terhadap mana-mana kilang di negeri itu.

“Sehingga kini, PBT telah menganggotai Op Patuh yang diketuai Kementerian Dalam Negeri (KDN) memeriksa dan menutup kilang yang melanggar SOP atau menyebabkan kluster-kluster baharu Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Majlis Pimpinan PKR Negeri Selangor itu berkata, sepanjang 25 Jun hingga 12 Julai lalu, sebanyak 2,266 pemeriksaan telah dilakukan dalam Op Patuh di Selangor.

Daripada jumlah itu, jelasnya, terdapat 65 premis telah dikompaun manakala 27 premis lagi termasuk kilang diarah untuk menghentikan operasi.

Dalam masa sama, Ahli Dewan Negeri Sungai Tua itu memberitahu sejumlah 129 premis perniagaan ditutup atas sebab melanggar SOP sejak 11 Mac hingga 12 Julai lalu.

Sebelum ini, kata Amirudin, beliau telah mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar kerajaan negeri Selangor diberi sedikit kuasa untuk terlibat sama dalam pengoperasian pemeriksaan dan menutup operasi kilang yang melanggar SOP atau menyebabkan kluster Covid-19.

 

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )