Pasukan Najib mohon tangguh prosiding rayuan

Pasukan Najib mohon tangguh prosiding rayuan

Dato’ Sri Najib Razak memohon Mahkamah Persekutuan menangguhkan prosiding rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd yang dihadapinya.

Peguam utamanya, Hisyam Teh Poh Teik, yang baru dilantik pada 21 Julai lalu, memohon budi bicara mahkamah untuk menangguhkan prosiding rayuan akhir, sejurus mahkamah menolak permohonannya untuk memasukkan bukti tambahan berhubung peranan Hakim Dato’ Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

“Rayuan akhir ini membabitkan dokumen yang banyak iaitu sebanyak 179 jilid dan keterangan saksi yang ramai, oleh itu saya memohon supaya kami diberikan peluang yang sewajarnya dan anak guam diberikan perlindungan yang sama rata.

“Saya dengan penuh ikhlas merayu supaya keadilan bukan saja dilaksanakan, malah dilihat sudah dilaksanakan… Oleh itu, berikan peluang kepada saya dan pasukan saya untuk membuat persiapan dan benarkan kami untuk kembali (ke mahkamah) dan berhujah (dalam rayuan akhir),” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk V Sithambaram, memaklumkan bahawa pihaknya menyerahkan kepada budi bicara mahkamah untuk membuat keputusan.

Katanya, mahkamah sudah menolak permohonan untuk menangguhkan rayuan akhir sebanyak dua kali di mana pembelaan juga sudah dimaklumkan ketika pengurusan kes bahawa ia akan tetap diteruskan mengikut tarikh yang dijadualkan sebelum ini.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )