PAS perlu fikir gabung dengan parti lain

PAS perlu fikir gabung dengan parti lain

Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, PAS sebagai parti besar dan sudah lama ditubuhkan sepatutnya menjadi parti dominan dalam Perikatan Nasional (PN).

Justeru, katanya PAS patut mempunyai pandangan sendiri dan ada hak bersuara dalam gabungannya, termasuk menentukan kerjasama parti itu dengan parti atau gabungan lain selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Saya difahamkan Presiden BERSATU tidak puas hati dengan kenyataan Setiausaha Agung PAS yang menyatakan kesediaan bekerjasama dengan BN jika tidak mendapat majoriti mudah pada PRU15.

“PAS ini parti besar dan lebih awal daripada BERSATU, sepatutnya dominan dan ada ‘say’ dalam PN,” katanya kepada pemberita.

Ismail Sabri berkata demikian mengulas kenyataan Takiyuddin yang menyatakan PAS bersedia untuk bergabung dengan BN sekiranya tidak mendapat majoriti mudah pada PRU15.

Sementara itu Ismail Sabri berkata, tindakan pimpinan BERSATU yang sering mengkritik pandangan PAS tidak sepatutnya berlaku.

“Jika begitu, PAS perlu memikirkan untuk bergabung dengan parti politik yang lain,” katanya sambil menyatakan bahawa kenyataan Setiausaha Agung PAS itu akan dibincangkan oleh Majlis Tertinggi UMNO sekiranya BN gagal membentuk kerajaan selepas PRU15 nanti.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )