PAS kuat sandiwara, tak mustahil kembali kerjasama dengan PH

PAS kuat sandiwara, tak mustahil kembali kerjasama dengan PH

Ketua Pemuda UMNO, Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki dengan lantang berkata, kerjasama kembali antara PAS bersama Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bukanlah suatu yang mustahil bagi tujuan mengalahkan UMNO.

Sebelum ini katanya, PAS pernah bersama gagasan berkenaan dalam Pakatan Rakyat (PR) atas matlamat yang sama.

Menurutnya, ia seperti saranan Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari apabila bersungguh-sungguh mengajak DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) PH menjatuhkan kerajaan UMNO di Pahang.

“Apakah bermakna kenyataan Mursyidul Am PAS, Ustaz Hashim Jasin kelmarin untuk mencari jalan menyelamatkan hubungan dengan UMNO atas nama Muafakat Nasional (MN) hanyalah sandiwara semata-mata?

“Kalau PAS boleh meninggalkan UMNO dalam MN untuk bersama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) membentuk Perikatan Nasional (PN), tidak mustahil juga mereka boleh berubah untuk bersama dengan pasangan baharu,” katanya.

Ahmad Fadhli sebelum ini mengajak penyokong PH berfikir sejenak betapa pentingnya merubah kepimpinan di Pahang.

Katanya, PAS ada peluang untuk menang atau setidak-tidaknya menjadi pemegang syer paling besar dalam pembentukan kerajaan negeri itu.

“Alangkah baiknya jika pengundi-pengundi PH dan PKR dalam pilihan raya yang lepas (PRU14) dapat membuat pertimbangan semula dan memberikan undi kepada PAS pada pilihan raya kali ini demi merubah kepimpinan kerajaan negeri Pahang,” ujarnya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )