PAS buka ‘rundingan’ termasuk AMANAH

PAS buka ‘rundingan’ termasuk AMANAH

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pendirian PAS dalam soal penyatuan ummah tidak terhad kepada UMNO semata-mata, tetapi membabitkan mana-mana parti sekali pun.

Katanya, PAS bersifat terbuka dan sedia untuk membuka ‘pintu’ rundingan parti termasuk bersama Parti Amanah Negara (AMANAH) sekiranya memenuhi matlamat penyatuan ummah itu.

Beliau berkata, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri sudah menyebut bahawa penyatuan ummah ini bukan hanya antara PAS dan UMNO, tetapi juga dengan mana-mana parti dan kumpulan yang serius membela ummah.

“Kita terbuka dan saya pernah membuat kenyataan dengan Parti Amanah Negara pun kita boleh bincang dengan syarat tinggalkan Pakatan Harapan (PH), tinggalkan DAP.

“Itu sikap kita, makna ‘we are open’ (kita terbuka). Khemah kita sekarang lebih besar daripada khemah PH lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan itu berkata, pihaknya kini menunggu perkembangan semasa dalam masa sama, mengharapkan UMNO berfikir semula untuk kepentingan ummah serta negara pada masa akan datang.

Beliau juga meminta pemimpin UMNO menyelesaikan dahulu kecelaruan yang didakwa berlaku dalam parti terbabit.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )