Parlimen perlu buat undian, bukan heret Institusi Raja dalam politik

Parlimen perlu buat undian, bukan heret Institusi Raja dalam politik

Penganalisis Politik, Dr Chandra Muzaffar berpandangan, kebergantungan tinggi kepada Institusi Raja untuk membuat keputusan besar berkaitan jawatan Perdana Menteri itu berisiko mencemarkan Institusi berkenaan.

Katanya, apa yang berlaku kini membabitkan proses pemilihan Perdana Menteri adalah sesuatu yang luar biasa dan tidak pernah terjadi sebelum ini.

“Sekarang kita berada dalam keadaan luar biasa, tidak ada pemenang yang jelas dalam pilihan raya dan tiada parti melepasi paras 50 peratus atau majoriti mudah 112 kerusi Parlimen menyebabkan Parlimen tergantung.

“Dalam keadaan luar biasa ini, Yang Di-Pertuan Agong boleh bertindak berbeza daripada biasa. Cara ini sudah dilaksanakan di beberapa negara lain yang tidak banyak beza dengan sistem Malaysia, dengan memanggil persidangan Parlimen.

“Apabila Yang Di-Pertuan Agong memanggil sidang Parlimen bagi memilih Perdana Menteri melalui undian Ahli Parlimen, Baginda boleh mengarahkan Yang Dipertua Dewan Rakyat mengendalikan pengundian nama-nama yang dicadangkan parti politik.

“Selepas pengundian secara sulit dilakukan, keputusannya dipersembahkan Yang Dipertua Dewan Rakyat kepada Yang Di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan Baginda,” katanya mengulas penyelesaian kemelut pelantikan Perdana Menteri selepas empat hari Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berakhir.

Chandra Muzaffar yang juga bekas pemimpin PKR, berkata pemilihan Perdana Menteri melalui Parlimen adalah cara yang mudah, telus, praktikal dan menjamin akauntabiliti.

Katanya, cadangan itu sesuai dalam keadaan luar biasa seperti yang berlaku kini.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )