Panggil polis ‘bodoh’, hina undang-undang, Lokman Adam dituntut jawab notis

Panggil polis ‘bodoh’, hina undang-undang, Lokman Adam dituntut jawab notis

Mahkamah Tinggi menetapkan Jumaat ini bagi bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam menjawab notis tunjuk sebab berhubung tindakannya menghalang penjawat awam dan mendakwa sistem perundangan negara tidak adil.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata penjelasan tindakan itu dalam perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sepatutnya dibuat hari ini, namun ditangguhkan memandangkan Peguam Lokman hanya boleh hadir ke mahkamah pada hari berkenaan.

“Mahkamah menghargai bantuan (Peguam Ahmad Zahid, Datuk Ahmad Zaidi Zainal) dalam hal ini. Lokman perlukan Peguam, maka mahkamah tiada alternatif lain membawa kes ini pada Jumaat ini.

“Beritahu kepada Lokman supaya pastikan Peguamnya hadir. Kes beliau Jumaat ini,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zaidi berkata, beliau sudah menawarkan khidmatnya kepada Lokman, namun Presiden Laskar Siber Malaysia itu masih mahu menunggu Peguamnya dan hanya ada masa lapang pada Jumaat dan mohon kes ini dibawa pada hari berkenaan.

Pada Khamis lalu, Lokman dikenakan notis tunjuk sebab selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran membangkitkan perkara itu dan meminta mahkamah mengenakan tindakan terus terhadap bekas ahli MKT UMNO berkenaan.

Raja Rozela dilaporkan berkata, ketika prosiding berhenti rehat, beliau dimaklumkan polis mahkamah, Lans Koperal Walter bahawa Lokman memanggil polis ‘bodoh’ apabila dia ditegur sedang ‘bermain’ telefon ketika prosiding kes.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )