PAC akan siasat isu kelewatan OPV, rakyat menuntut jawapan

PAC akan siasat isu kelewatan OPV, rakyat menuntut jawapan

Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menzahirkan kegembiraan terhadap kenyataan Pengerusi PAC, Wong Kah Woh yang akan memulakan siasatan punca kelewatan Kapal Luar Pesisiran Pantai (OPV) yang sepatutnya diterima dua tahun lalu dari tarikh tempahan tahun 2017.

Mujahid berkata beliau telah membangkitkan isu kelewatan ini pada awal September lalu setelah mendapati pelbagai isu meragukan dalam kontrak rundingan terus bernilai RM739 juta.

“Saya mendapati Syarikat TH Heavy Engineering Berhad (THHE) yang dianugerahkan projek ini adalah sebuah syarikat bermasalah yang berstatus Nota Amalan 17 (PN17) sejak 2017. Dan pada 5 September 2022, THHE telah dinyahsenaraikan daripada Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).

“Syarikat JV THHE bersama Destiny Bhd yang dibuat melalui anak syarikat Destini iaitu Destiny Shipbuilding pula telah diperintahkan oleh mahkamah untuk dibuat “windingup” pada 15 Sept 2022.

“Destiny telah pun menjual bahagian 51 peratus dalam syarikat JV THHE Destiny pada tahun 2021. Semua insiden ini menimbulkan kesangsian kepada cara bagaimana projek ini dikendalikan serta keupayaan THHE untuk siapkan 3 buah OPV di sebalik penangguhan yang diberi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu beliau berharap agar pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertanggungjawab dan APMM memberi kerjasama melalui siasatan audit dalamannya supaya memudahkan PAC mengenalpasti pihak yang perlu dipanggil untuk keterangan.

“Rakyat menuntut jawapan sebagaimana yang telah saya bangkitkan dan PAC adalah pihak paling berkelayakan menyempurnakan tuntutan ini,” tambahnya lagi.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )