Nur Jazlan cabar Nazri Aziz bertanding di Pulai, dia kan hulubalang UMNO/BN

Nur Jazlan cabar Nazri Aziz bertanding di Pulai, dia kan hulubalang UMNO/BN

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed, mengulangi pendirian untuk melepas dan tidak bertanding di kerusi Parlimen Pulai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Malah bekas Ahli Parlimen Pulai selama tiga penggal itu, turut mempelawa beberapa ahli politik dalam Barisan Nasional (BN) dan UMNO, termasuk Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, untuk bertanding di Parlimen Pulai.

Beliau berkata, pendirian tegas itu dibuat selepas analisis yang jelas berhubung keputusan dan statistik pengundian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dua bulan lepas sudah memberikan petanda pada PRU15 nanti.

“Ramai juga yang pujuk saya untuk tarik keputusan itu tapi saya tidak mahu. Ada yang tanya kenapa saya tak mahu bertanding lagi sedangkan saya masih ‘muda’ lagi berbanding beberapa orang Ahli Parlimen lain yang sudah terlalu tua tapi masih bernafsu mahu jadi calon lagi pada Pilihan Raya Umum (PRU) 15.

“Jawapan saya mudah, dengan pola dan peratusan pengundi cukup rendah dan tiada perubahan sokongan pengundi Cina kepada calon Melayu dan BN, saya tahu saya akan kalah kalau bertanding juga.

“Kerusi Parlimen Pulai pula adalah kerusi marginal, di mana pecahan peratus undi Melayu dan Cina cukup tipis perbezaan. Kalau saya bertanding dan dapat 70 peratus undi Melayu tapi pengundi Cina pula langsung tak menyokong, saya tetap akan kalah.

“Sejarah PRU14 sudah cukup mengajar saya untuk kenal hati budi pengundi Cina,” katanya.

Beliau dilihat mencabar Ahli Parlimen Padang Rengas, Dato’ Seri Nazri Aziz untuk bertanding di kawasan itu.

“Saya juga terbuka jika Ahli Parlimen Padang Rengas, Dato’ Seri Nazri Aziz, yang selalu bangga beliau menang besar di kawasan majoriti Melayu itu datang bertanding di Pulai.

“Mungkin dengan ketokohan dan kehebatan beliau sebagai salah seorang Ahli Parlimen paling senior dalam BN, Nazri boleh menang besar di Parlimen Pulai ini. Pada ketika itu, barulah beliau boleh dabik dada bahawa dialah hero dan hulubalang sebenar dalam UMNO/BN,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )