NGO desak moratorium automatik sehingga Disember

NGO desak moratorium automatik sehingga Disember

Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu dan Islam menggesa kerajaan melaksanakan moratorium automatik dan tanpa syarat ke atas semua jenis pinjaman sehingga hujung Disember ini atau sehingga negara berjaya mencapai imuniti kelompok.

Koordinator Gabungan NGO Melayu dan Islam, Ahmad Yazid Othman berkata, moratorium tersebut merupakan langkah minimum yang perlu dilakukan kerajaan dalam membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Beliau berkata, kerajaan perlu memperluaskan moratorium pinjaman tersebut termasuk sektor peminjam berlesen dan penjualan secara kredit atau segala bentuk bayaran sewaan, lesen perniagaan dan lesen pihak berkuasa tempatan (PBT) selama tempoh moratorium tersebut berkuat kuasa.

“Selain moratorium pinjaman automatik ini, kerajaan juga perlu melaksanakan pemberian Bantuan Sara Hidup (BSH) sebanyak RM1,200 sebulan untuk tempoh enam bulan kepada mereka yang berpendapatan RM5,000 dan ke bawah.

“Pemberian subsidi upah untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) sekurang-kurangnya enam bulan tanpa potongan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Membenarkan penangguhan bayaran sewa kepada semua bentuk premis sehingga enam bulan selepas tempoh moratorium berakhir,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ahmad Yazid berkata, kerajaan juga perlu melaksanakan pembekuan pembayaran atau pengecualian bayaran caj utiliti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selama enam bulan kepada PMKS.

 

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )