Najib terima layanan VIP di penjara dengan ‘Kod Merpati’

Najib terima layanan VIP di penjara dengan ‘Kod Merpati’

Sejak beberapa hari lalu tersebar di media sosial dakwaan mengatakan layanan istimewa diberikan terhadap banduan yang bernama Dato’ Sri Najib Razak, yang dirujuk dengan nama ‘Kod Merpati’.

Dakwaan itu antaranya membabitkan pengubahsuaian ruang penjara untuk Najib dan rancangan untuk membawa dia ke Hospital Rehabilitasi Cheras bagi memudahkannya menerima tetamu dan mendapat kemudahan orang kenamaan (VIP).

Untuk rekod, Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.

Najib dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur minggu lalu dan dikatakan menghadapi masalah ulser perut dan darah tinggi.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli pula menerusi Twitter semalam menyifatkan tulisan-tulisan Najib di Facebook tidak menggambarkan keadaan kesihatannya teruk.

Rafizi berkata, Najib kelihatan seperti mempunyai akses bebas kepada dunia luar, yang mungkin mengesahkan dakwaan berkaitan layanan istimewa kepada ‘Merpati’ di penjara.

“Najib tidak sepatutnya mempunyai interaksi dengan dunia luar. Bagaimana dia sampaikan mesej kepada pentadbir akaun Facebook, lebih-lebih lagi bagaimana dia tahu apa yang saya cakap semasa pelancaran jentera pilihan raya PKR pada Ahad lalu?,” soalnya.

Katanya, sekiranya benar Najib dihantar ke Hospital Rehabilitasi Cheras, ia sekali gus mengukuhkan dakwaan di internet.

“…ini isu serius yang Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan perlu jawab,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )