Najib tak balas mesej, saya syak beliau terbabit salah laku – Saksi

Najib tak balas mesej, saya syak beliau terbabit salah laku – Saksi

Bekas Pengerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Mohd Bakke Salleh, meletak jawatan sebagai Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah selepas berasa Dato’ Sri Najib Razak terbabit dalam salah laku kewangan dan ada yang tidak kena berlaku di luar pengetahuannya.

Mohd Bakke memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, ia berikutan khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada bekas Perdana Menteri itu berhubung kebimbangannya mengenai hal ehwal syarikat pelaburan strategik negara itu, tidak mendapat maklumbalas Najib.

Menjelaskan perkara itu, beliau berkata, SMS itu antara lain memberitahu Najib ada beberapa perkara yang diarahkan oleh Ahli Lembaga Pengarah kepada pihak Pengurusan Syarikat tetapi tidak dipatuhi.

Bagaimanapun, katanya, Najib tidak membalas SMS berkenaan.

“Tidak terlintas di fikiran saya untuk melaporkan kepada mana-mana pihak berkuasa berkaitan salah laku kewangan pengurusan 1MDB.

“Ia berikutan saya mengandaikan sudah berbuat demikian melalui SMS yang dihantar kepada Dato’ Sri Najib.

“Saya berharap Dato’ Sri Najib akan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap pengurusan 1MDB sekiranya beliau mendapati sebarang salah laku di pihak mereka.

“Oleh kerana kebimbangan saya tidak mendapat perhatian Dato’ Sri Najib, saya berasakan beliau terbabit dan sesuatu yang tidak kena berlaku tanpa pengetahuan saya,” katanya.

Saksi itu berkata, ia menjadi antara sebab utama beliau memutuskan untuk meletak jawatan sebagai Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah 1MDB.

Katanya, peletakan jawatannya tidak diumumkan pada masa itu untuk menjaga reputasi Najib.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )