Najib mohon kemuka bukti lanjut batalkan bicara kes SRC

Najib mohon kemuka bukti lanjut batalkan bicara kes SRC

Dato’ Sri Najib Tun Razak memfailkan permohonan untuk mengemukakan bukti lanjut kepada Mahkamah Persekutuan bagi membatalkan keseluruhan perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta yang mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan.

Peguam Utama Najib iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, bukti yang ingin dikemuka adalah berkaitan dengan penemuan baru-baru ini bahawa Hakim perbicaraan, Dato’ Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada 2006 merupakan Peguam Am dan Setiausaha Syarikat bagi Kumpulan Maybank yang bertanggungjawab secara keseluruhan terhadap pengurusan serta pentadbiran semua jabatan undang-undang dalam syarikat itu.

“Bukti lanjut yang ingin dikemukakan yang diambil secara kumulatif mengesahkan bahawa Hakim Nazlan telah terlibat dan/atau mempunyai pengetahuan mengenai peranan Maybank Investment dalam menasihati penubuhan SRC dalam memikul tanggungjawab beliau sebagai Peguam Am dan Setiausaha Syarikat Maybank.

“Hakim Nazlan, berdasarkan kedudukan beliau dan penugasan fungsinya, perlu bertanggungjawab bagi keseluruhan pengendalian semua perkara undang-undang dalam syarikat itu. Kumpulan Maybank adalah termasuk Maybank Investment dan Bina Fikir Sdn Bhd.

“Dalam apa jua keadaan, Hakim Nazlan akan memiliki pengetahuan sebenar mengenai tugas menasihati berhubung isu SRC atau sekurang-kurangnya beliau dianggap memiliki pengetahuan yang konstruktif berdasarkan jawatan beliau,” katanya.

Muhammad Shafee berkata, beberapa dokumen yang baru-baru ini dibawa kepada perhatian mereka mendedahkan bahawa Maybank Investment Bank Bhd adalah badan yang bertanggunjawab mencadangkan penubuhan SRC International dan Maybank Investment melalui Bahagian Penasihat Strategik milik penuhnya, Bina Fikir, telah ditugaskan melakukan penyelidikan dan perkara nasihat berkaitan penubuhan SRC.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )