Nafi hak mengundi positif Covid-19, SPR bertindak secara salah

Nafi hak mengundi positif Covid-19, SPR bertindak secara salah

Seorang pengundi berdaftar Parlimen Iskandar Puteri memperoleh kebenaran Mahkamah Tinggi untuk memulakan tindakan undang-undang berhubung tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menghalangnya daripada mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac lepas.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Noorin Badaruddin membuat keputusan itu selepas menolak bantahan Jabatan Peguam Negara (AGC) terhadap permohonan kebenaran semakan kehakiman dikemukakan R.K Tamileswaaran, 26, selaku pemohon terhadap SPR dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama dan kedua.

Beliau berkata, permohonan itu mempunyai merit untuk didengar dan menetapkan 6 Julai untuk pengurusan kes.

Menerusi permohonan difailkan pada 8 Jun lepas, lelaki itu memohon perintah mahkamah supaya membatalkan keputusan atau tindakan SPR yang menghalangnya daripada mengundi pada 12 Mac lepas atas alasan beliau masih dalam tempoh kuarantin selepas disahkan positif Covid-19 pada 7 Mac.

Pemohon juga memohon deklarasi SPR bertindak secara salah dari sisi undang-undang dalam menafikan haknya untuk mengundi selain memohon deklarasi bahawa SPR mencabuli hak perlembagaan pemohon di bawah Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan.

Untuk rekod, setibanya di pusat mengundi pada 12.55 tengah hari, Pegawai Rela dan anggota polis yang mengawal laluan masuk telah memeriksa MySejahtera pemohon yang menunjukkan risiko ‘Tinggi’ dan mengarahkan pemohon untuk pergi ke khemah mengundi khas yang ditempatkan di pusat mengundi itu.

Bagaimanapun, pemohon mendakwa beliau terkejut apabila Pegawai SPR memaklumkan, individu sedang dalam tempoh kuarantin tidak dibenarkan untuk mengundi dan perlu mendapatkan kebenaran daripada Pegawai Kesihatan Daerah terlebih dahulu sebelum dibenarkan mengundi.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )