Mustahil DAP jalin hubungan dengan pengkhianat

Mustahil DAP jalin hubungan dengan pengkhianat

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, menyatakan pendirian parti itu untuk menolak sebarang cadangan kerjasama dengan parti atau individu yang mengkhianati Pakatan Harapan (PH) sehingga gabungan itu tidak dapat terus mentadbir kerajaan pada 2020.

Katanya, tiada apa yang boleh mengubah pendirian parti itu walaupun difahamkan sesetengah pihak percaya semua parti pembangkang perlu bekerjasama untuk mengalahkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Kami tidak akan mengambil pendekatan menang walau dengan apa cara sekalipun, yang bermaksud bekerjasama dengan orang yang tiada rasa bersalah apabila mengambil bahagian dalam Langkah Sheraton.

“Bagaimana DAP boleh bekerjasama dengan individu yang bekerjasama dengan (Dato’ Sri) Najib Razak untuk menumbangkan kerajaan PH? Ia seolah-olah bekerjasama dengan BN,” katanya.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, ramai penyokong DAP tidak akan dapat menerima idea PH bekerjasama dengan pemimpin pembangkang tertentu, terutamanya yang merancang Langkah Sheraton atas hujah perkauman dan agama.

“Pemimpin-pemimpin ini mampu menggunakan alasan yang sama jika timbul keperluan untuk terus berkuasa selepas PRU15. Mustahil untuk bekerjasama dengan mereka lagi,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )