Musang berbulu ayam jahanamkan negara

Musang berbulu ayam jahanamkan negara

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub dalam bahasa yang bernada budiman berkata beliau bimbang terhadap salah laku yang berlaku dalam kalangan anggota polis.

“Kita bukan mahu mencari salah polis. Kita mahu integriti PDRM terus dijaga dan menjadikan PDRM sebuah badan yang dihormati dan dapat berkhidmat secara amanah terhadap negara dan rakyat,” ujarnya.

Beliau menyarankan satu badan bebas aduan dan salah laku polis perlu ditubuhkan segera bagi mengekang kegiatan yang tidak bermoral dan jelas salah di sisi undang-undang yang berlaku dalam kalangan polis.

“Saya juga ingin menegaskan bahawa Rang Undang-undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) telah dibentangkan pada bacaan kali pertama di Dewan Rakyat semasa PAKATAN HARAPAN memerintah,” katanya.

Walau bagaimanapun, RUU tersebut ditarik balik selepas Jawatankuasa Pilihan Khas Rang Undang-undang membuat pendengaran awam bersama kakitangan polis di beberapa negeri.

Difahamkan ia untuk penambahbaikan.

Namun apa yang berlaku, PERIKATAN NASIONAL cuba menggantikannya dengan Rang Undang-undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC).

“Saya berpendapat ianya tidak dapat dilaksanakan secara berkesan memandangkan terdapat peruntukan yang mewajibkan IPCC untuk memberikan notis awal sebelum membuat apa-apa lawatan atau semakan terhadap PDRM.

“Sudah tentu secara logik, prosedur ini mampu mempengaruhi proses siasatan yang mana mereka yang bersalah mempunyai peluang untuk menutup kesalahan mereka,” tegas Salahuddin.

Cuba kita fikir baik-baik, jika para menteri yang bertanggungjawab ke atas penguatkuasa itu kompeten, adakah akan berlaku Macau Scam, jenayah korupsi dan gelombang ketiga COVID-19?

Sungguh. Kita sayang negara kita. Kita sayang PDRM. Kita tidak mahu skandal kewangan atau apa-apa salah laku berlaku dalam kalangan polis yang turut menjejaskan imej PDRM, dan memalukan negara.

Semua kebejatan ini bermula daripada yang memegang kuasa politik negara. Negara akan hancur lebur bila ada musang yang berbulu ayam.

Makluman: Artikel ini tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi JOMChannel.Net

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )