MUDA tetap mahu sertai PH, pertembungan kerusi tidak akan berlaku

MUDA tetap mahu sertai PH, pertembungan kerusi tidak akan berlaku

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), tetap akan menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) walaupun tidak diterima secara rasmi ke dalam gabungan itu.

Malah, Timbalan Presidennya, Amira Aisya Abd Aziz berkata, pihaknya akan memastikan tiada pertembungan kerusi menjadi objektif utama pada PRU15.

Tambahnya, Jawatankuasa Eksekutif Pusat MUDA adalah jelas dengan segala perbincangan tertumpu untuk memastikan kerjasama parti itu dengan PH terjalin.

“Apa pun kita nak pastikan jika kita tidak diterima secara rasmi pun dalam PH, kita akan pastikan kerjasama itu masih ada, sekiranyalah, kita beri ruang kepada Majlis Presiden PH,” katanya.

Semalam, PH dalam satu kenyataan memaklumkan akan menubuhkan Jawatankuasa Rundingan bagi membincangkan permohonan keanggotaan MUDA dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk bekerjasama dengan gabungan itu secara rasmi pada PRU15.

Wakil parti komponen PH yang terdiri daripada PKR, DAP, AMANAH dan Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menerima wakil MUDA dan PSM untuk perbincangan mengenai penyertaan dalam gabungan itu.

Menurut Amira Aisya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, pihaknya faham sekiranya ada pihak meragui penyertaan MUDA dalam PH.

“Hasrat MUDA untuk bersama-sama PH bukan baharu, malah sejak awal pendaftaran parti lagi sudah bergerak bersama-sama gabungan tersebut yang mempunyai dasar dan prinsip yang sama,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )