Muafakat Nasional: PAS tak perlu mengugut

Muafakat Nasional: PAS tak perlu mengugut

Naib Presiden UMNO, Dato’ Seri Mahdzir Khalid berkata, PAS tidak wajar membuat kenyataan berbaur ugutan terhadap UMNO berhubung kerjasama dua parti itu di bawah gagasan Muafakat Nasional (MN).

Ini kerana katanya, persaudaraan yang terjalin dibina atas keikhlasan, bukannya atas ugutan.

Menurutnya, kedua-dua pemimpin parti berkenaan hendaklah lebih harmoni ketika mengeluarkan kenyataan berkaitan MN yang diibaratkan seperti ‘telur di hujung tanduk’.

“Sebenarnya tak boleh ada ugut-mengugut. Lebih baik kita bercakap benda yang baik-baik sikit untuk membina kebaikan daripada kita membuat kenyataan yang seakan ugutan,” katanya.

Mahdzir berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang dipetik berkata, PAS yakin keengganan UMNO untuk mempertahankan MN akan mengakibatkan parti itu ditolak pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menteri Besar Kedah itu turut menegaskan, perpaduan ummah yang menjadi teras kepada penyatuan MN itu akan mendapat sokongan rakyat sebagaimana PAS yang tidak berputus asa mempertahankan MN walaupun ia dilihat seperti ‘retak menanti belah’.

Mengulas lanjut, Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, adalah lebih manis sekiranya kedua-dua pemimpin berbaik-baik sesama sendiri dan menggunakan perkataan yang harmoni bagi mengelak sengketa berpanjangan.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )