MPN gagal, Mahiaddin tidak lagi diperlukan

MPN gagal, Mahiaddin tidak lagi diperlukan

Ibarat habis madu, sepah dibuang. Setelah berjaya menjadikan partinya sebagai ketua kerajaan, kini nada sudah lain macam bunyinya. Lupa diri atau tak sedar diri?

Terkini, Presiden UMNO, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa Majlis Pemulihan Negara (MPN) dibubarkan selepas kerajaan menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi.

Menurut beliau, MPN yang dipengerusikan Tan Sri Mahiaddin Md. Yasin itu tidak lagi berkesan dan diperlukan serta bercanggah dengan usaha-usaha terkini kerajaan untuk menangani masalah rakyat.

Menurut beliau, Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang dianggotai beberapa Menteri merupakan langkah yang baik bagi menangani masalah inflasi, kos sara hidup dan sekuriti makanan dengan lebih tersusun melalui kerjasama rentas kementerian.

“Sebenarnya, kewujudan MPN dari awalnya lagi tidak membuahkan hasil dan berfungsi sebagai penasihat kepada kerajaan sahaja.

“Fungsi ini sebenarnya boleh dan sedang dilakukan oleh badan-badan pemikir berkaliber seperti Khazanah Research Institute (KRI) dan badan-badan pemikir lain, yang selama ini telah lama bergiat aktif dalam memberi nasihat serta syor kepada kerajaan.

“MPN hanyalah satu platform untuk memberikan Tan Sri Mahiaddin Md. Yasin peluang bagi menaikkan imej diri sendiri serta parti beliau, dan tidak semestinya bersuara bagi pihak rakyat dan kepentingan negara,” katanya.

Tambahnya, MPN sudah gagal, maka sudah tiba masanya kerajaan membubarkannya dan memberikan kelapangan kepada kementerian serta Menteri daripada menghadiri mesyuarat majlis yang tidak berkesan itu.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )