Mesyuarat pemimpin politik bersama YDPA dijangka bermula 9 Jun?

Mesyuarat pemimpin politik bersama YDPA dijangka bermula 9 Jun?

Nampaknya kebanyakan media rancak melaporkan mengenai siri mesyuarat membabitkan pemimpin parti politik dan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Berdasarkan sumber masing-masing, pertemuan bersama Yang di-Pertuan Agong itu didakwa sedang dalam perancangan dan bakal berlangsung selama beberapa hari dikatakan bermula pada 9 Jun ini.

Menurut sumber, difahamkan pertemuan itu dirancang melibatkan penasihat-penasihat parti politik serta wakil dari Parlimen dan Pejabat Peguam Negara.

Bagaimanapun, sumber berkenaan berkata, belum ada surat rasmi dari Istana Negara mengenai individu yang dibenarkan hadir termasuk kepada barisan Presiden parti-parti politik di negara ini.

“Perkara ini dari segi dalaman tidak diperincikan lagi tetapi perjumpaan Yang di-Pertuan Agong dengan beberapa ketua parti adalah betul dan berkemungkinan termasuk bersama penasihat-penasihat parti,” katanya seperti dilaporkan.

Semalam, Ahli Jawatankuasa Tamat Darurat, Khairuddin Abu Hassan berkata Yang Di-Pertuan Agong berkenan untuk menerima majlis menghadap semua ketua daripada parti-parti politik, termasuk pembangkang.

Jawatankuasa yang diwujudkan pembangkang itu sebelum ini berusaha untuk menghadap Al Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bagi memohon campur tangan baginda agar darurat ditamatkan.

Istana Negara pada April lalu memaklumkan Seri Paduka berkenan menerima majlis menghadap berkenaan, namun ia akan diadakan pada tarikh dan waktu yang akan ditentukan kemudian.

“Keseluruhan rakyat menyandarkan harapan yang tinggi kepada kebijaksanaan KDYMM Tuanku Yang di-Pertuan Agong dan DYMM Raja-Raja Melayu untuk mencari satu formula penyatuan ke arah membina semula Malaysia demi kesejahteraan masa depan bangsa, negara serta agama,” katanya.

Bagaimanapun Khairuddin, ketika dihubungi pemberita enggan mengulas lanjut mengenai kenyataan dan grafik yang beliau sertakan di laman media sosialnya.

 

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )