Menteri tidak wajar terlalu naif, bertindak semberono!

Menteri tidak wajar terlalu naif, bertindak semberono!

Beriya-iya benar Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Mohd Nor berkata COVID-19 bukan seperti HIV.

“Kita buat kerja, tiba-tiba terkena kepada pandemik. Ini bukan Aids atau HIV (yang mana) antara penularan HIV ni (dari) seks songsang. Ini haram, tak boleh, dosa,” katanya dipetik beberapa media.

Pemimpin PAS itu membandingkan COVID-19 dengan penyakit seperti denggi yang mencatatkan jumlah lebih tinggi.

“Kita bukan nak dosa apa. Dia pandemik dan ada orang mati lebih banyak denggi, malaria, H1N1, taun, TB (batuk kering)…dan apa lagi yang tidak ada ubat nak merawatnya pun,” katanya.

Sehingga kelmarin Kedah mencatatkan 153 kes baharu Covid-19 dengan 6 kematian. Jumlah kumulatif ialah 1,600 kes.

Katanya apa yang berlaku terhadap Menteri Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Al-Bakri yang dijangkiti Covid-19 pada 5 Oktober selepas ke Tuaran, Sabah bukan sesuatu yang diminta.

Untuk makluman, Zulkifli pulang dari Sabah pada 24 September dan kemudian mengunjungi enam negeri dan wilayah lain, tanpa patuh kepada SOP Kementerian Kesihatan.

Perlu diingat bahawa beliau dikecam bukan secara peribadi kerana didapati positif COVID-19. Tetapi beliau dikecam kerana sebagai seorang menteri sepatutnya menjadi teladan kepada orang awam supaya patuh kepada SOP, bagi mengelakkan penyakit yang berbahaya ini berjangkit kepada orang lain.

Seorang Menteri tidak wajar terlalu naif, sehingga bertindak semberono, seolah-olah kebal daripada jangkitan penyakit tersebut.

Sedangkan seorang Menteri mendapat maklumat lengkap dan lebih awal berbanding orang awam.

Di media sosial, tanda palang #KlusterMenteri telah menjadi trending selepas tujuh menteri kabinet diarahkan menjalani kuarantin kendiri ekoran mempunyai kontak rapat dengan Zulkifli.

Sanusi sendiri dikesan tidak mengenakan pelitup muka, mahupun penjarakan sosial semasa melakukan tinjauan di kawasan Hutan Simpan Ulu Muda pada 5 Oktober lalu.

Makluman: Artikel ini tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi JOMChannel.Net

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )