Menantu PM nafi jadi Naib Pengerusi Eksekutif Caely Holdings

Menantu PM nafi jadi Naib Pengerusi Eksekutif Caely Holdings

Pereka fesyen terkemuka, Datuk Jovian Mandagie, menafikan beliau kini Naib Pengerusi Eksekutif sebuah syarikat pengeluar pakaian Caely Holdings, seperti pengumuman firma itu di Bursa Malaysia pada 14 Jun lalu.

Beliau berkata, pengumuman dibuat Caely Holdings berhubung pelantikannya adalah salah, tidak benar dan mengelirukan orang awam.

Katanya, beliau memang menghadiri mesyuarat dengan wakil dari Caely Holdings, Datuk Loh Ming Choon pada 13 Jun lalu untuk berbincang mengenai potensi kolaborasi dengan syarikat berkenaan.

“Saya tidak bersetuju menerima pelantikan sebagai Naib Pengerusi Eksekutif Caely Holdings.

“Saya juga ingin menegaskan saya tidak melakukan sebarang bentuk persetujuan yang mencerminkan penerimaan saya terhadap tawaran pelantikan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menantu Perdana Menteri itu berkata, pengumuman dibuat syarikat tersenarai itu mencemar reputasi korporat, perniagaan dan peribadinya.

Berikutan itu, beliau berkata, pihaknya akan mendapatkan nasihat undang-undang berhubung perkara itu untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi melaporkan kesalahan berkenaan kepada pihak berkuasa seperti Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti (SC).

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )