Maszlee Malik dilantik Naib Pengerusi PKR Johor

Maszlee Malik dilantik Naib Pengerusi PKR Johor

Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor akan mengumumkan barisan kepimpinan terbaharunya tidak lama lagi dengan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik dilantik sebagai Naib Pengerusi PKR negeri.

Menurut sumber dalaman PKR Johor, senarai kepimpinan tertinggi PKR negeri berkenaan sudah diserahkan kepada Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli semasa mesyuarat PKR Johor di Batu Pahat pada Ahad.

Beliau memberitahu, selain bekas Menteri Pendidikan itu akan dinamakan sebagai Naib Pengerusi I PKR negeri, Jimmy Puah Wee Tse akan dilantik Naib Pengerusi II PKR negeri dan S Gopalakrishnan pula Naib Pengerusi III PKR negeri.

“Barisan kepimpinan baharu ini adalah bagi menguatkan PKR bahagian selatan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Mereka akan bergandingan dengan Rafizi yang dilantik pucuk pimpinan PKR sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor pada 3 Ogos lalu sebagai strategi yang menugaskan beliau menyelaras kempen PRU di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, ketiga-tiga Naib Pengerusi PKR negeri itu yang bakal dilantik mempunyai pengalaman dan amat memahami keadaan politik di Johor yang kompleks selain amat penting untuk menang banyak kerusi di negeri itu.

Rafizi Ramli semasa berucap dalam Jelajah Trak Ayuh Malaysia Zon Selatan di Johor Bahru pada Sabtu berkata, negeri itu menjadi tumpuan setiap kali PRU kerana mempunyai 26 kerusi Parlimen dan dianggap amat penting terutama dalam usaha untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

Menurut Rafizi, Johor menjadi penentu Pakatan Harapan (PH), BN atau Perikatan Nasional (PN) untuk menang PRU15 kerana kekuatan politiknya yang mempunyai kerusi Parlimen paling banyak di semenanjung.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )