Malaysia negara contoh bagaimana Parlimen dilumpuhkan

Malaysia negara contoh bagaimana Parlimen dilumpuhkan

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang menyifatkan sidang Parlimen pada 26 Julai depan bukanlah satu sidang Parlimen sebenar, sebaliknya hanya sesi taklimat khas dan penerangan Menteri-menteri kabinet berhubung pandemik Covid-19.

Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan selepas beliau menerima notis e-mel dari Parlimen yang menyertakan jadual urusan majlis sepanjang lima hari bersidang.

Beliau berkata, Malaysia nampaknya memberikan contoh kepada dunia bagaimana sebuah Parlimen akhirnya dilemahkan dan dilumpuhkan.

“Pertama, tidak ada waktu pertanyaan Menteri. Perintah Tetap Dewan Rakyat 22 (2) menghendaki Ahli Parlimen memberikan notis sekurang-kurangnya 10 hari bekerja. Tapi tidak ada 10 hari bekerja sebelum sidang pada 26 Julai.

“Kedua, usul pembangkang tidak akan dibenarkan. Proklamasi dan Ordinan Darurat akan dibentangkan di Parlimen tetapi tidak ada undian mengenai Proklamasi dan Ordinan Darurat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kit Siang berkata, menurut notis Parlimen semalam, agenda sidang hanyalah melibatkan siri penerangan Menteri mengenai Pelan Pemulihan Negara, Program Vaksinasi, Pelaksanaan Darurat dan Pakej Bantuan Ekonomi.

Notis itu menyatakan bahawa Speaker akan membenarkan Ahli Parlimen meminta penjelasan dan memberi pandangan semasa sesi penerangan Menteri, namun tidak diketahui adakah mereka dibenarkan untuk berbahas dan mengundi penerangan Menteri masing-masing.

 

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )