Macau Scam tumpas – selebriti, usahawan kosmetik antara yang terlibat!

Macau Scam tumpas – selebriti, usahawan kosmetik antara yang terlibat!

Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua.

Kehidupan sindiket yang bernama Macau Scam yang berkilauan dengan foya-foya, tari-menari, arak dan mempamerkan kekayaan menerusi wang penipuan akhirnya kantoi.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya menutup pintu sindiket penipuan Macau ini pada 1 Oktober lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki dilaporkan berkata sindiket penipuan itu mendapat perlindungan daripada penguatkuasa kerajaan.

Katanya, SPRM mempunyai senarai individu termasuk selebriti dan ahli perniagaan yang dikesan terbabit dalam aktiviti ‘mencuci’ wang sindiket berkenaan.

Azam Baki berkata individu terbabit diminta menghadirkan diri di SPRM, sebelum dipanggil untuk membantu siasatan.

“Saya tidak mahu membuat spekulasi siapa (selebriti) yang akan dipanggil tetapi sesiapa yang makan cili mesti terasa pedasnya. Mereka yang mungkin pernah menerima (dana sindiket), sila dating!”, katanya.

Terdahulu Berita Harian melaporkan, SPRM menahan 10 individu termasuk lapan pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta merampas wang tunai RM100,000, berhubung siasatan kes kegiatan pengubahan wang haram hasil aktiviti judi dalam talian dan Macau Scam.

Empat pegawai kanan terbabit merupakan seorang berpangkat Asisten Komisioner (ACP), Superintendan, Deputi Superintendan dan Asisten Superintendan serta dua anggota berpangkat Lans Koperal.

Semua anggota terbabit bertugas di Bukit Aman dan Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Selangor.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani juga mengesahkan penahanan dua pegawai kanan daripada JSJ Bukit Aman yang dipercayai ada kaitan dengan pengubahan wang haram membabitkan selebriti tanah air.

Sebelum ini, SPRM membekukan 750 akaun dengan simpanan kira-kira RM75 juta hasil aktiviti pengubahan wang haram, termasuk membabitkan selebriti dan usahawan kosmetik.

Di samping itu SPRM juga menyita 24 kenderaan mewah dan motosikal berkuasa tinggi milik beberapa individu yang ditahan.

SPRM juga menyita kediaman mewah milik pasangan suami isteri yang ditahan Jumaat lalu dan seorang suspek lain yang ditahan bersama-sama mereka.

Menurut laporan dalang utama sindiket berkenaan dipercayai rakyat China, tetapi menggunakan ejen di Malaysia untuk menguruskan ‘pelaburan’ termasuk mencari perniagaan berpotensi sebagai platform membersihkan wang hasil penipuan.

Makluman: Artikel ini tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi JOMChannel.Net

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )