Lokman Noor Adam dijatuhkan hukuman penjara sebulan

Lokman Noor Adam dijatuhkan hukuman penjara sebulan

Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam dihukum penjara sebulan oleh Mahkamah Tinggi hari ini, atas tuduhan menghina mahkamah dengan mengugut saksi perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas Lokman didapati bersalah atas kesalahan berkenaan dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara bermula Khamis.

Mahkamah mendapati tindakan Lokman membuat laporan polis terhadap bekas Pegawai Khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, menjurus kepada intimidasi dan ancaman.

Semasa prosiding, Lokman yang diwakili peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah merayu agar hukuman itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam, membantah permohonan itu dengan alasan responden tidak mempunyai sebarang keadaan istimewa untuk dibenarkan penangguhan.

Mahkamah kemudian membenarkan hukuman penjara ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan dan Lokman dikenakan bon jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin.

 

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )