Lelaki tikam ibu sedang solat terawih

Lelaki tikam ibu sedang solat terawih

Seorang lelaki ditahan selepas menikam ibunya menggunakan pisau di sebuah rumah di Taman Orkid Permai, jam 10 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, polis menerima panggilan kecemasan dari seorang lelaki yang memaklumkan ibunya ditikam abang kandungnya sebelum sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, ketika tiba di rumah tersebut, polis terus menahan suspek berusia 29 tahun yang masih berada di lokasi kejadian.

“Suspek masih bujang dan tidak bekerja. Ujian saringan air kencing suspek positif dadah namun dia tiada rekod jenayah lampau.

“Kita merampas dua bilah pisau daripada suspek iaitu 31 dan 27 sentimeter panjang berhulu plastik warna hitam,” katanya ketika dihubungi media.

Katanya, mangsa yang berusia 56 tahun mengalami kecederaan di tangan kirinya ketika mengelak ditikam suspek.

“Dia stabil ketika dibawa ke Hospital Kepala Batas dan telah menerima10 jahitan pada kecederaannya itu. Difahamkan ketika kejadian, mangsa sedang menunaikan solat tarawih bersama suaminya di ruang tamu sebelum didatangi suspek.

“Suspek tiba-tiba meluru keluar dari biliknya dengan memegang dua bilah pisau lalu menghala ke arah ibu dan bapanya. Bapanya sempat menolak suspek namun pisau tersebut terkena pada tangan ibunya,” katanya.

Noorzainy berkata, dari keterangan mangsa, suspek mempunyai masalah mental sejak 2016 dan kini dalam rawatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.

 

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )