Larangan Oktoberfest terima sokongan pemimpin AMANAH

Larangan Oktoberfest terima sokongan pemimpin AMANAH

Meskipun orang bukan Islam bebas dan berhak minum arak pada bila-bila masa, cuma untuk satu pesta diadakan adalah sesuatu yang tidak sesuai dan tidak wajar dibenarkan dalam negara ini.

ADUN Permatang Pasir Faiz Fadzil bersetuju dengan pendirian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad, yang berkata sambutan Oktoberfest tidak wajar dibenarkan.

“Orang bukan Islam boleh minum arak, tetapi bukan dalam aktiviti seperti mana satu festival di negara barat.

“Saya tidak rasa budaya festival minum arak ini adalah budaya asal mana-mana bangsa dalam negara ini.

“Pada pandangan saya, orang bukan Islam bebas dan berhak minum arak pada bila-bila masa, cuma untuk satu festival diadakan adalah sesuatu perkara yang tidak sesuai unbecoming dibenarkan dalam negara ini,” katanya dalam kenyataan.

Pemimpin AMANAH itu juga mengingatkan bahawa meminum arak di negara ini bukan satu hak yang mutlak, tetapi dikawal oleh undang-undang.

Oleh itu, katanya, mengekalkan keharmonian negara adalah agenda yang lebih penting.

“Keharmonian ini boleh dipertahankan dengan masing-masing mengekalkan budaya tradisional setiap kaum.

“Maka, budaya asing terutama dari barat seperti Oktoberfest tidak perlu diamalkan dalam negara ini,” katanya, sambil menambah bahawa festival itu bermula dari Bavaria, Jerman dan bukannya budaya mana-mana masyarakat di negara ini.

Untuk rekod, pada 28 Julai lalu ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat, Idris berkata bahawa perbuatan menjadikan minuman arak sebagai pesta dan dibuat secara terbuka kepada masyarakat awam tidak sepatutnya dibenarkan.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )