Kritikan Nur Jazlan terhadap PM tidak wajar

Kritikan Nur Jazlan terhadap PM tidak wajar

Naib Presiden UMNO, Dato’ Seri Mahdzir Khalid berkata, tindakan Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang mengkritik Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob secara terbuka baru-baru ini sesuatu yang tidak wajar.

Beliau menyifatkan kenyataan Nur Jazlan itu sebagai pandangan peribadi dan tidak mewakili mana-mana organisasi.

“Sebagai seorang yang pernah menjadi Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen dan sekarang Ketua Bahagian, dia (Nur Jazlan) tidak sepatutnya buat teguran seumpama itu, carilah saluran yang ada dalam parti.

“Saya rasa sedih, sebab kita sedang kumpul kekuatan untuk pergi kepada Pilihan Raya Umum (PRU) dan tak payah ada komen seumpama itu,” katanya.

Mahdzir berkata demikian sebagai mengulas kritikan terbuka Nur Jazlan yang menganggap Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri daripada UMNO paling lemah dalam sejarah.

Sementara itu, Ahli Parlimen Padang Terap itu menjelaskan kenyataan itu tidak menggambarkan UMNO dalam keadaan berpecah sebaliknya parti itu dalam keadaan baik.

Menerusi laporan sebuah portal berita, kritikan Nur Jazlan itu dibuat sebagai mengkritik tindakan Ismail Sabri yang lewat mengambil keputusan berhubung jawatan Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin dalam kabinet.

Ia susulan Zuraida mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )