KOLUMNIS HANIPA MAIDIN: Pemimpin baik, rakyat pun InshaaAllah baik!

KOLUMNIS HANIPA MAIDIN: Pemimpin baik, rakyat pun InshaaAllah baik!

Assalamualaikum wrt wbt dan salam sejahtera

Satu waktu dahulu iaitu semasa kami (pasukan peguam parti ehem) mengendalikan sebuah kes petisyen pilihan raya di Kelantan, arwah Tok Guru Nik Aziz – telah sudi melapangkan masa beliau bertemu dengan kami semua di rumah rasmi MB (yang beliau tidak duduki).

Saya masih ingat, antara lain, Almarhum Tok Guru menceritakan kepada kami semua tentang kisah Syaidina Umar r.a. yang meskipun berjawatan seorang khalifah (may be PM dalam bahasa sekarang) hanya tidur di bawah sebuah pokok tanpa ada seorang pengawal atau ‘body guard’.

Menurut Almarhum, apa yang dilakukan oleh Syaidina Umar r.a. itu diperhatikan oleh seorang utusan luar negara yang dihantar ke Madinah bagi melihat rutin kehidupan seorang khalifah Islam pada waktu itu

Apabila utusan itu melihat kesederhanaan kehidupan seorang pemimpin tertinggi Islam pada masa itu, maka keluarlah kata-kata masyhur dari mulut beliau, iaitu:-

“Anda itu adil, itulah sebabnya anda boleh tidur/lena dengan aman (nyenyak), wahai Umar”.

Oleh kerana pemimpin di atas seperti Syaidina Umar r.a itu baik, adil dan tidak korup, kita boleh melihat kesan kebaikan pemimpin tersebut juga akhirnya terpancar kepada rakyatnya.

Saya teringat dua kisah yang saya baca dalam buku Dr Yusuf Al-Qardhawi – masa sekolah dulu-dulu iaitu buku “Iman Dan Kehidupan” – tentang kisah rakyat yang hidup di zaman Syaidina Umar r.a.

Kisah pertama adalah kisah gadis desa yang membantu ibunya menyediakan bekalan susu untuk dijual. Ibu gadis itu telah bertindak  mencampur-adukkan air kosong ke dalam bejana susu tersebut dengan tujuan untuk menambahkan lagi kuantiti susu yang ingin dijual.

Kata Dr Yusuf Al-Qardhawi, si gadis desa tersebut telah memprotes tindakan ibunya.

Lalu si ibu berkata kepada anaknya, “tidak mengapa wahai anakku, Khalifah Umar r.a. tidak nampak apa yang kita lakukan.”

Cuba lihat dan renungkan jawapan seorang gadis desa di zaman negara yang diperintah oleh khalifah yang adil.

Kata gadis desa itu, “Sekiranya pun Syaidina Umar tidak melihat/nampak apa yang kita lakukan, Tuhan kepada Syaidina Umar nampak atau melihat (apa yang kita lakukan)”.

Sebab itu dikatakan bahawa ‘Tunggak atau tunjang hikmah’ itu adalah takut kepada Allah swt!!”

Kisah kedua? Maaf, InshaaAllah lain tahun, kita cerita ya!

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )