KOLUMNIS HANIPA MAIDIN: Janjoliyev Gurgakov.

KOLUMNIS HANIPA MAIDIN: Janjoliyev Gurgakov.

Assalamualaikum dan salam sejahtera

  1. Arakian, ada satu dongeng purbakala. Ia berlaku di sebuah daerah di negara Tajikistan yang bernama Amondara.
  2. Di daerah itu, tinggallah seorang lelaki kaya raya bernama Janjoliyev Gurgakov yang maknanya “Konflik Serigala”.
  3. Meskipun kaya raya dan sering bersuka ria dan hidup berfoya-foya tanpa mengira dosa pahala, insan kaya tersebut hakikatnya tidak pernah merasai erti bahagia. Padahal beliau sudah ada segalanya seperti wang, harta, keluarga, pangkat dan nama.
  4. Menurut cerita dongeng tersebut, Janjoliyev pernah terlibat dalam sebuah perniagaan emas berlian di sebuah syarikat konglomerat yang besar dan terkenal di negara Tajikistan itu. Meskipun sudah dikurniakan kemewahan hidup, nafsu serakahnya tidak pernah puas. Dia ingin benar menjadi orang nombor satu syarikat.
  5. Dikatakan beliau telah PECAH AMANAH dan KHIANAT rakan-rakan perniagaannya bagi merebut jawatan CEO syarikat emas berlian itu.. Dia berjaya akhirnya  mendapatkan jawatan CEO itu , manakala ramai dari para rakan kongsinya semua di”gulingkan” olehnya. Dia amat berbangga dengan title CEO itu dan mula melantik rakan-rakan kongsi yang baharu di samping mengekalkan beberapa rakan lama yang bernafsu serakah seperti beliau.
  6. Malang bagi Janjoliyev, rakan-rakan kongsinya yang baru itu amat tidak berkelayakan dan juga tidak tahu berniaga. Setengah dari mereka itu “menipu dan mereka berpisahlah tiada”, walaupun sering pegang biji tasbih. Rakan-rakan yang lama pula meskipun agak pandai tapi jahat semuanya dan sering mengintai peluang untuk menggulingkan Janjoliyev.
  7. Ringkasnya, dalam syarikatnya sekarang dia dikelilingi oleh rakan-rakan kongsi yang baharu tetapi dungu dan rakan-rakan kongsi yang lama yang pandai tetapi amat jahat. Sebagai CEO syarikat, Janjoliyev amat takut dan bimbang akan kehilangan kuasa dan jawatan di AGM syarikat. Hampir setiap malam beliau tidak boleh tidur lena. Setiap hari dia mengalami mimpi ngeri. Lalu dia mengambil langkah drastik untuk menggantung AGM supaya tidak berlaku penggulingan kuasa.
  8. Amat malang bagi Janjoliyev. Ratusan ribu pekerja syarikat beliau pula amat marah dengan segala tindakan beliau dan rakan-rakan kongsi beliau di dalam syarikat kerana mereka semua makin kaya raya sedangkan para pekerja dibiarkan hidup melarat. Ditakdirkan Tuhan, satu persatu bencana dan malapetaka mula menimpa Janjoliyev dan syarikat beliau itu.
  9. Anak, isterinya dan pengikutnya serta rakan- rakan kongsinya yang baharu amat risau hal tersebut. Satu hari, mereka bertanya Janjoliyev tentang perkara tersebut.

Janjoliyev menjawab :- “Dengan harta dan perbuatan haram sebelum ini, kita bersuka ria sebentar. Dan itu semua pun sudah berlalu. Kini, telah tiba masanya. Dengan harta dan perbuatan haram itu juga, kita sudah mula merasai kesengsaraan dan kehinaan. Dan yakinlah itu semua suatu yang panjang dan berkekalan.”

Buat kali pertama Janjoliyev berkata benar! Maka terpelantinglah biji tasbih yang sedang dipegang oleh beberapa rakan kongsi baharunya bila mendengar keluhan Janjoliyev Gurgakov itu!

Begitulah kisah dongeng purbakala mengenai Janjoliyev Gurgakov atau “Konflik Serigala”.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )