KOLUMNIS HANIPA MAIDIN: Bagilah rakyat nak bergembira sedikit di hari raya ini abang-abang polis!

KOLUMNIS HANIPA MAIDIN: Bagilah rakyat nak bergembira sedikit di hari raya ini abang-abang polis!

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Media lapor PDRM mengumumkan akan menahan para pengguna jalan raya yang dikesan memiliki waran tangkap lampau sepanjang Op Selamat bermula 29 April hingga 8 Mei depan.

Saya bersetuju sepenuhnya dengan kenyataan Datuk Mohd Zaid Ibrahim yang menggesa agar pihak PDRM mencari waktu lain dan bukan di waktu cuti musim perayaan ini.

Saya percaya pihak polis, dengan hormat, sudah tentu maklum dan sedar bahawa selama dua tahun rakyat tidak dapat berhari raya di kampung halaman mereka kerana tekun mematuhi arahan pihak Kerajaan akibat negara dilanda pandemik Covid-19.

Kali ini, paling kurang berilah peluang sedikit untuk rakyat ingin bergembira sedikit menyambut hari lebaran dengan para insan tersayang di kampung halaman masing-masing.

Saya percaya seperti orang kata anda tidak perlu untuk menjadi saintis roket untuk dengan mudah memahami ancaman untuk menahan para pengguna jalan raya yang memiliki waran tangkap yang tertunggak oleh pihak polis tersebut akan ditafsir bagi menimbulkan “ketakutan” kepada sebahagian rakyat yang ingin balik ke kampung untuk bergembira dengan para insan tersayang.

Perlukah “ancaman” tersebut apalagi di waktu ini?

Isunya di sini bukan kita menafikan tanggungjawab polis untuk melakukan tugas tersebut. Sebaliknya, isu di sini adalah kesesuaian waktu pengumuman itu.

Sekali lagi saya dengan rendah diri menyeru agar pihak polis menggunakan budi bicara mereka untuk tidak meneruskan “ancaman” untuk menahan para pengguna jalan raya yang mempunyai tunggakan waran tangkap.

Carilah masa yang lebih sesuai selepas tamatnya Hari Raya Aidilfitri.

Jika ada pihak yang telah pun jelas disabitkan BERSALAH oleh dua mahkamah pun masih boleh dibenarkan ke luar negara dan itu tidak termasuk dia juga diberi pelbagai kenikmatan yang lain.

Apa salahnya rakyat yang baru nak menikmati sedikit kegembiraan di hari lebaran ini diberi peluang untuk bergembira seketika.

May common sense prevail.  Selamat Hari Raya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )