KOLUMNIS HANIPA MAIDIN: Apabila dunia kini berstatus “perkampungan global”

KOLUMNIS HANIPA MAIDIN: Apabila dunia kini berstatus “perkampungan global”

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Isu penghinaan ke atas Nabi Muhammad saw oleh dua pemimpin/jurucakap daripada parti Perdana Menteri India iaitu Bharatiya Janata Party (BJP) kini nampaknya bukan sekadar menjadi isu domestik negara India sahaja.

Ya, ia kini telah menjadi isu antarabangsa. Ramai para pemerhati politik hatta di kalangan para mantan Diplomat Senior dari negara tersebut – khususnya yang pernah berkhidmat di negara negara arab – juga mengkritik keras tindakan penghinaan tersebut. Mereka menganggap apa yang berlaku itu adalah berupa “a diplomatic fiasco”.

Sepertimana dikatakan oleh seorang mantan Diplomat Senior India “umumnya sesuatu negara itu tidak akan mencampuri urusan domestik mana-mana negara lain”

Bagaimanapun, apabila berlakunya insiden seperti penghinaan kepada Nabi Muhammad isu itu kini telah melintasi garis merah dan ia tidak lagi boleh dianggap hanya sekadar menjadi isu domestik sesuatu negara sahaja.

Tidak perlu untuk saya nyatakan reaksi banyak negara khususnya negara-negara yang bermajoriti muslim terhadap isu penghinaan itu seperti memboikot produk-produk negara tersebut atau meminta para diplomat depa menghadap pihak negara tamu dan banyak lagi.

Malahan di India sendiri sudah ada suara-suara yang menyalahkan BJP sekiranya keselamatan jutaan rakyat India khususnya di negara-negara teluk dan arab terancam.

Sebagai Muslim, saya berharap dan berdoa agar orang Islam masih boleh memiliki “cool heads” dan tidak mengancam keselamatan mana-mana rakyat India di mana sahaja kerana jelas depa tidak bersalah dan amat tidak wajar sama sekali untuk dipersalahkan. Mereka berada di negara umat Islam bagi mencari rezeki bagi membantu keluarga depa di India.

Daripada sudut politik, amat ketara negara India dan parti BJP menghadapi tekanan yang begitu hebat sekarang ini.

Lebih parah lagi kepada India, Kerajaan Amerika pula baru-baru ini telah mengeluarkan sebuah laporan tahunan Jabatan Negara tersebut berkenaan tahap kebebasan agama di peringkat Antarabangsa. Antara lain, ia memuatkan laporan yang agak negatif ke atas negara India iaitu mengenai rekod buruk depa berkenaan isu kebebasan beragama di negara tersebut.

Laporan Tahunan tersebut dihasilkan oleh Jabatan Negara tersebut berdasarkan input atau maklumat yang depa perolehi, antaranya, dari kedutaan-kedutaan depa di negara-negara berkenaan.

Sudah tentu India rasa tidak selesa dengan laporan tahunan tersebut kerana pada kali ini bukan sahaja laporan tersebut memuatkan isu tahap “pemerkosaan” hak asasi beragama di negara tersebut tetapi yang lebih memeritkan India lagi, isu pelanggaran hak asasi di negara itu juga disebut secara spesifik melalui penyebutan secara lisan oleh Setiausaha Jabatan Kerajaan Amerika iaitu Anthony Blinken.

Bagi setengah pihak, itu menggambarkan betapa negatifnya pandangan Amerika khususnya ke atas tahap pelanggaran isu hak asasi manusia di negara India.

Meskipun kita boleh bersetuju dengan pandangan Menteri Luar India yang memberi reaksi balas dengan mengkritik Amerika mengenai rekod buruk Amerika itu sendiri, namun ramai yang tidak begitu menyokong pandangan Menteri Luar India itu.

Bagi depa, India yang dianggap pengamal demokrasi terbesar dunia sewajarnya tidak ber”perangai” seperti Amerika dan perlu tahu membezakan antara laporan tahunan yang Amerika kemukakan dengan rekod buruk Amerika mengenai isu pelanggaran hak asasi manusia.

Apapun, isu ini menggambarkan betapa dunia sekarang ini ibarat telah bertukar menjadi sebuah “perkampungan global” yang semakin mengecil.

Bagi setengah pihak, isu penghinaan Nabi Muhammad saw ini ibarat siri pelanggaran hak asasi manusia yang terancang yang dilakukan oleh Kerajaan BJP pimpinan Modi khususnya ke atas umat Islam di India. Semua tidak lupa mengenai isu pindaan undang-undang kewarganegaraan, isu masjid Babri, isu larangan hijab dan banyak lagi. Semua isu tersebut melakarkan wajah yang amat hodoh ke atas Kerajaan BJP di bawah Nerendra Modi.

Sebagai penutup, saya ingin meminjam kata-kata menarik daripada seorang mantan Diplomat Senior di India yang lebih kurang berkata begini :-

“Sesebuah negara di dunia sekarang ini tidak boleh lagi terus hidup berpura-pura seolah-olah sebarang tindakan negatif yang depa lakukan tidak diperhatikan oleh masyarakat antarabangsa dan depa beranggapan “business as usual”!”

Iktibar yang mungkin boleh diambil oleh Gomen Tebuk Atap jangan anda semua dok syok sendiri dengan apa yang anda telah dan sedang lakukan.

Adakah anda syok sendiri dok fikir masyarakat antarabangsa tidak memerhatikan tindakan anda semua dan menganggap semuanya “business as usual!”

Betul tak YB Pasir Salak?

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )