KOLUMNIS HANIPA MAIDIN: Aku dan Wira Tidak Didendang- Siri ke 11.

KOLUMNIS HANIPA MAIDIN: Aku dan Wira Tidak Didendang- Siri ke 11.

Wira Tidak Didendang yang kelapan,  kesembilan dan kesepuluh di dalam senarai koleksi aku mempunyai satu ciri persamaan di antara mereka iaitu kesemuanya berstatus OKU. Namun ketiga-tiga mereka memiliki keunikan tersendiri yang bagi aku amat layak dianugerahkan Wira Tidak Didendang atau “The Unsung Hero”.

Pada 6 hb Mac 2019, aku dan team dengan ditemani beberapa pemimpin Parti Amanah Negara Negeri Pahang telah menziarahi  Wira Tidak Didendang yang ke-10 kami di kondo beliau di Bukit Tinggi, Betong. Beliau tinggal di sebuah kondominium yang agak cantik.

Pada masa itu, beliau berusia 42 tahun dan telah pun berkahwin. Isteri beliau, Puan Ang Yan Lee, bukanlah seorang OKU. Beliau dan suaminya yang kami raikan tersebut begitu ramah melayan rombongan kami.

Nama wira kami tersebut adalah Encik Ong Boo Siong yang juga lebih popular dan dikenali sebagai Boo Siong sahaja. Beliau adalah anak kelahiran Negeri Kelantan dan amat fasih berbahasa melayu. Beliau adalah seorang OKU sejak dilahirkan.

Beliau dilahirkan dalam keadaan hanya mempunyai sebuah tangan sahaja yang sempurna sedangkan di sebelah tangannya yang lain – tangan kanan- adalah cacat dan tidak berfungsi seperti biasa.

Menurutnya, ibunya sering memberi motivasi dan semangat kepada diri beliau sewaktu kecil bagi meneruskan kehidupan walaupun agak sukar untuk beliau, pada mulanya , menerima suratan takdir yang pahit itu.

Beliau memberi tahu aku semasa waktu kecil, beliau biasa dan sering diejek dan dihina dan hal tersebut menyebabkan ,pada mulanya, beliau sering menyalahkan dirinya sendiri dan juga sering berfikiran negatif.

Nasihat ibunya kepada beliau agar jangan dipedulikan ejekan orang lain khususnya dari kalangan kanak kanak. Ibunya juga sering menasihati Boo Siong agar sentiasa melihat kejayaan mana-mana OKU yang lain sebagai pemangkin semamgat. Ya, ianya mungkin senang dilafaz tapi tidak mudah untuk dilaksanakan.

Apapun, saudara Boo Siong boleh dikatakan adalah seorang OKU yang berjaya kini. Kini, beliau adalah seorang pakar perunding dan pakar motivasi yang  agak popular dan sering menerima jemputan untuk memberi motivasi khususnya di sekolah-sekolah. Merata tempat beliau telah pergi di negara ini bagi menjalankan tugasnya memotivasi orang ramai dan selalunya mereka yang bukan OKU.

Bagaimanakah beliau boleh berhijrah dari seorang yang asalnya amat membenci dirinya sendiri dan sering berfikiran negatif hingga boleh mencapai kejayaan ?. Beliau telah berjaya menuntut ilmu hingga ke menara gading- USM – dan telah berjaya mendapat segulung ijazah dan pada masa aku menziarahi beliau, beliau sedang sibuk menyambung pengajian sarjana atau masters di UKM.

Menurut Boo Siong, segalanya bermula ketika berusia 15 tahun dan berada di tingkatan tiga. Beliau telah meminjam dari perpustakaan disekolahnya sebuah buku popular yang ditulis oleh Napoleon Hill bertajuk ” Think and Grow Rich”.

Ya, ramai dari kita yang mungkin biasa membaca karya Napolean Hill yang agak banyak itu dan penulis itu sering kali dikatakan sebagai seorang ” a self-help author” yang amat popular.

Bagi Boo Siong ,kalimah sakti dari Napolean Hill di buku tersebut adalah ungkapan ini

” sekiranya anda ingin orang lain menerima anda, anda terlebih dahulu menerima  diri sendiri adanya” .

Ungkapan tersebut ibarat pembuka mata dan penggerak langkah baru dalam kehidupan beliau. Ungkapan tersebut, bagi beliau, berjaya menukar diri beliau dari berfikiran negatif kepada sentiasa berfikir positif. Selepas itu, beliau terus maju ke hadapan dan tidak lagi menoleh ke belakang.

Semasa berkunjung ke rumahnya dan berbual mesra dengan beliau, aku tak terasa yang beliau adalah seorang berbangsa cina kerana kefasihannya berbahasa melayu amat menakjubkan. Aku juga tidak terasa beliau adalah seorang OKU kerana kelihatannya beliau seolah-olah seorang lelaki yang tidak ada masalah langsung dengan kecacatan.

Semasa mengunjunginya, aku lebih banyak mendengar dari beliau dan kehebatannya mengungkap kata-kata hikmah yang bernilai motivasi pembakar semangat amat mengasyikkan para pendengar. Amat layak beliau memilih bidang motivasi dan perunding. Bagi aku, bakat beliau itu seperti bakat semulajadi dan hanya perlu digilap untuk bertukar cemerlang.

Kunjungan aku menemui Wira Yang Tidak Didendang ini membawa banyak memori yang indah. Bila melihat kejayaan Boo Siong berjaya membuang segala elemen negatif dalam dirinya dan ditukar ganti dengan elemen elemen positif, ia mengingatkan kita semua kepada kata-kata masyhur dari Napolean Hill juga iaitu ” the starting point of all achievement is desire !”  Boo Siong bukan sekadar memiliki ” desire ” untuk berubah tapi beliau, bagi aku memilliki ” the strongest desire” untuk berubah!

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )