KOLUMNIS HANIFF KHATRI: Ulang tahun Ke-30 Sebagai Peguambela & Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya!!

KOLUMNIS HANIFF KHATRI: Ulang tahun Ke-30 Sebagai Peguambela & Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya!!

Wahai Rakyat Malaysia yang prihatin, Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

TIGA ANUGERAH “UTAMA” ALLAH KE ARAH MENJADI PEGUAM!!

Anak sepasang Musafir yang berhijrah ke Malaya dari Gujerat, lahir di Klang, pindah ke Tanjong ketika rangkak-jalan baru disukat, Dek pengaruh rancangan “Crown Court” di kaca tv, impian terjerat, Kerjaya PEGUAM izinkan penyampaian hujah tanpa disekat,

Didikan rendah di tapak sekolah pertama di Tanah Malaya, Di Darjah Satu, bila guru tanya “Besar nanti apakah minat kerjaya?”, Tanpa teragak dijawab lantas, “Nak jadi Peguam di kota raya”, Sambil menunjuk ke arah Mahkamah di seberang jalan raya,

Pelajaran menengah di MRSM Kulim sekolah asrama putra-puteri, Dididik guru tanpa belah bahagi supaya cekap hidup mandiri, Keputusan tertinggi SRP dan SPM anugerah ALLAH Pemilik diri, Tapi biasiswa/pinjaman lanjut MARA disekat, dek polisi “dalca-kari”,

Harapan daripada kecil hendak ke universiti di England tidak tertumpas, Dengan pinjaman £100 dan tiket AEROFLOT saya pun berlepas, Di usia 18 tahun dengan YAKIN pada ALLAH saya berhempas pulas, Kerja untuk sara hidup, ke kuliah bila ada masa, agar Ijazah digalas,

Jam 5 pagi setiap hari, jadi “paperboy” biayai kos tren mingguan, Jumaat malam dan hujung minggu, di “pub”, kerja cuci pinggan, Dalam sekelip mata, dua sumber pendapatan hilang daripada tangan, Anugerah pertama, tanda ALLAH sayang maka dihantarNya ujian,

Tatkala baki £5 di saku, terima surat pertama semasa balik dari kelas, Ada cek £70, talian hayat 2 minggu untuk cari kerja dengan pantas,  “You are selected as the recipient of Annual Zakat”, dinyatakan jelas, Daripada Finsbury Park Mosque, Alhamdulillah doaku ALLAH balas,

Ditawar kerja “kitchen helper” Ealing Tandoori milik pendatang Nepal, Gaji £35 seminggu untuk kerja hujung minggu dengan cekal, Tapi setiap malam dapat makan puas-puas tanpa bawa balik bekal, Diberi pula penginapan harian tanpa bayar sewa secara kekal.

Malang, diserbu dan ditahan di ‘lokap’ POLIS Harrow untuk 8 jam, Dihantar ke pusat tahanan PATI Harmondsworth 3 hari 2 malam, Pasport dirampas untuk dihalau pulang sebagai pekerja haram, Syukur, dapat perintah gantung pemulangan, bantuan kolej awam,

Diizinkan menetap oleh Imigresen UK dengan syarat untuk diikuti, Setiap Sabtu lapor diri dengan nombor 21-28-26-86 saya turuti, Melalui telefon awam sebelum masuk “kerja haram” tanpa ditakuti, Itulah Anugerah Ujian kedua, dengan izin ALLAH, saya nikmati,

Masa itu, pengajian kursus “A Levels” di London, sebuah kota raya, Syarat lengkap Imigresen UK perlu bukti saraan universiti saya berjaya, Baki tempoh, kurang lebih 3 bulan lagi untuk saya yang tidak kaya, Cuma kepada ALLAH saya serah untuk musibah diselesaikanNya,

Skandal BMF 1980an malang untuk ramai, untuk saya bawa tuah, MARA buka permohonan kewangan untuk pelajar keluarga mewah, Sebabnya, mata wang Malaysia nilainya sudah merudum ke bawah, Ramai ibu bapa swasta tak dapat tanggung pembiayaan anak buah,

Memang polisi “dalca-kari” MARA adalah asbab keadaan saya itu, Tidak saya letakkan harapan semasa di bilik temujanji saya ketuk pintu, Berhadapan Pegawai Tertinggi yang baru mula bertugas di situ, Namun, ketentuan ALLAH yang bekalkan saya semangat yang jitu,

Tak sempat Pegawai bertanya, saya sudah mula bercerita, Kisah panglipurlara anak muda bagaikan kembara pendeta, Rentetan peristiwa suka-duka diluahkan tanpa noktah pada kata, 15 minit berlalu, saya tersedar, amalan beradab hormati orang tua kita,

Lalu, saya bertanyakan kalau ada soalan yang ingin dia tanya, Baru disebutnya nama seorang budak di MRSM yang “junior” saya, Terus saya potongnya, maklumkan budak itu anak orang kaya, Saya Ketua “dorm”, dan dia selalu dibuli rakan tua tidak sebaya,

Sekali lagi, saya terpotong bicaranya tidak bertempat, “Kenapa dengan dia Tuan”, dengan maaf saya tanya dengan cepat, Terkejut saya, dia jawab “Anak saya kata Haniff, Abang angkat”, Anugerah ketiga ketika di sana, ALLAH turunkan Rezeki dan Berkat,

Alhamdulillah, disokongnya tawaran pinjaman pembayaran yuran, MARA keluarkan surat kononnya saya diberi sepenuh pembiayaan, Syarat penting Imigresen UK berjaya saya lengkap laksanakan, Hatta, diluluskan juga sambung Visa Pelajar dan Pasport dikembalikan,

Dimaklumkan juga untuk terus pohon biaya saraan hidup bulanan, Masuk tahun akhir, Alhamdulillah dapat pula pinjaman £360 sebulan, Buat kenduri syukur, habis duit bulan pertama semua dibelanjakan, Kena sambung kerja “haram” untuk bayar bantuan pinjaman kawan,

Selepas 4 tahun 24 hari dan 8 jam, saya kembali ke negara tercinta, Berbekalkan £150, Ijazah Perundangan dan pengalaman permata, 30 tahun lalu, pada tanggal 8 hb Mei 1992, terungkaplah ucap kata, Iktirafkan saya penerima zakat, sebagai PEGUAM, tercapai cita.

Antara prinsip hidup utama, jangan langsung dewakan wang, Terus rapat di hati amalan ini, sampai pulang sehingga sekarang, Jika semak baki akaun, jangan terkejut, tiada apa walau sekupang, Kalau tak percaya, tunggu akhirat dan tontonlah wayang ditayang,

Rezeki sememangnya penentuan dan pemberian janjian Tuhan, Terdetik di hati “Kenapa urusan hamba hina ini, ALLAH mudahkan?”, Jawapan hakiki “Wajib berbakti dalam kerjaya penuh keikhlasan”, Hingga habis nyawa, In Shaa Allah, fardhu kifayah akan diteruskan!

DEMI AGAMA DAN NEGARA TERCINTA!!!

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )