KOLUMNIS HANIFF KHATRI: Tommy Thomas & Laporan Pasukan Petugas Khas: Kedudukan Perundangan – Tidak Bersalah Sehingga Dibuktikan Bersalah!!

KOLUMNIS HANIFF KHATRI: Tommy Thomas & Laporan Pasukan Petugas Khas: Kedudukan Perundangan – Tidak Bersalah Sehingga Dibuktikan Bersalah!!

Wahai Rakyat Malaysia yang prihatin, Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Pada 30.09.2022, SINAR HARIAN bertajuk “Ismail Sabri arah siasatan lanjut ke atas Tommy Thomas” melaporkan:

“Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan agar siasatan lanjut segera dilaksanakan oleh agensi penguat kuasa berkaitan bagi menyiasat kemungkinan wujud salah laku oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Beliau berkata, arahan itu dibuat susulan pembentangan laporan oleh Pasukan Petugas Khas (PPK) Siasatan Ke Atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’, yang ditulis Tommy dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat.

“Berdasarkan siasatan yang telah dibuat, pasukan ini telah mengkategorikan 19 isu-isu penting yang dikesan dalam buku tersebut kepada empat isu utama iaitu dakwaan ke atas badan kehakiman; pendedahan maklumat dan rahsia kerajaan; tindakan tidak sah, salah guna kuasa dan kecuaian profesional dan kenyataan berbaur hasutan.

“Pasukan Petugas Khas seterusnya telah mengemukakan beberapa syor untuk pertimbangan Kerajaan bagi tujuan tindakan susulan yang wajar diambil. Sehubungan itu, saya telah mengarahkan agar siasatan lanjut segera dilaksanakan oleh agensi penguat kuasa berkaitan, bagi menyiasat kemungkinan salah laku oleh Tan Sri Tommy Thomas,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambah Ismail Sabri, siasatan yang akan dijalankan antaranya di bawah Seksyen 124I Kanun Keseksaan – Penyebaran Laporan Palsu.”

(Link Laporan : https://www.sinarharian.com.my/article/223713/berita/nasional/ismail-sabri-arah-siasatan-lanjut-ke-atas-tommy-thomas)

Pada 01.10.2022 ASTRO AWANI bertajuk “Isu Tommy Thomas: Kertas siasatan diperkemas, dirujuk semula kepada Peguam Negara – Polis” pula telah melaporkan:

“Kertas siasatan yang telah diperkemaskan, berhubung dakwaan-dakwaan yang terkandung dalam buku bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’ akan dirujuk semula ke Pejabat Peguam Negara Isnin ini untuk arahan selanjutnya.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin dalam kenyataan hari ini berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah selesai mengambil keterangan Thomas.

“Susulan laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan Ke Atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’ yang telah ditaklimatkan kepada Jemaah Menteri, dan arahan oleh Perdana Menteri agar siasatan lanjut segera dilaksanakan, kertas siasatan yang telah diperkemaskan akan dirujuk semula ke Pejabat Peguam Negara,” katanya.

(Link Laporan : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/isu-tommy-thomas-kertas-siasatan-diperkemas-dirujuk-semula-kepada-peguam-negara-polis-383699)

Justeru seorang rakan pemberita telah menghubungi saya untuk ulasan perundangan berhubung siasatan berkaitan buku memoir TOMMY THOMAS bertajuk “Justice in Wilderness”itu, yang mana telah dipetik dan dilaporkan oleh UTUSAN MALAYSIA 17.10.2022 bertajuk “Pejabat Peguam Negara tentukan nasib Tommy”, di mana Gambar Laporan Cetak adalah dimuat naik di Ruang Bawah untuk kemudahan para pembaca:

UTUSAN MALAYSIA 17.10.2022 : ‘Pejabat Peguam Negara tentukan nasib Tommy’ – Haniff Khatri :

“Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas tidak akan terlepas untuk dibawa ke muka pengadilan sekiranya siasatan yang dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap individu itu ada asas untuk didakwa di mahkamah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengamal undang-undang, Mohamed Haniff Khatri Abdulla bagaimanapun berkata, tindakan lanjut ke atas bekas Peguam Negara itu terletak di tangan Pejabat Peguam Negara.

“Tidak kira kedudukan seseorang itu sebagai bekas Perdana Menteri atau bekas Peguam Negara, mereka perlu berdepan sistem keadilan. Untuk kes Tommy, kertas siasatan sudah dimajukan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP).

“Namun kita tidak tahu DPP berpuas hati atau tidak dengan kertas siasatan yang dihantar oleh PDRM itu. Adakah ada atau tidak elemen jenayah yang disiasat terhadap bekas Peguam Negara itu.

“Jadi, kita tidak tahu kalau DPP akan tolak atau terima. Mungkin juga akan minta PDRM buat siasatan lanjut dan jika ada boleh bawa ke mahkamah ataupun mungkin juga tiada tindakan lanjut (NFA),” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau mengulas siasatan terhadap Tommy Thomas selepas PDRM mengemukakan empat kertas siasatan dakwaan salah laku beliau kepada DPP dengan cadangan dituduh di mahkamah.

Mengulas lanjut, Mohamed Haniff Khatri berkata, beliau tidak berpihak kepada Tommy namun, memegang prinsip seseorang itu adalah tidak bersalah sehingga dirinya dibuktikan bersalah oleh mahkamah di akhir proses perbicaraan.

“Justeru, kini terserah kepada Jabatan Peguam Negara untuk membawa kes ke mahkamah dengan mendakwa Tommy jika mendapati wujud elemen salah laku. Jika Tommy dihadapkan ke mahkamah sekali pun, beliau belum bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah,” katanya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia yang memperoleh laporan buku setebal 822 muka surat Pasukan Petugas Khas menyenaraikan sembilan elemen kemungkinan berlaku salah laku bekas Peguam Negara itu.”

(Link Laporan : https://www.utusan.com.my/berita/2022/10/pejabat-peguam-negara-tentukan-nasib-tommy/)

DEMI AGAMA DAN NEGARA TERCINTA!!!

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )