KOLUMNIS HANIFF KHATRI: Taraf Keislaman Seorang Wanita Muallaf & Tindanan Bidang Kuasa Mahkamah Sivil vs Mahkamah Syariah

KOLUMNIS HANIFF KHATRI: Taraf Keislaman Seorang Wanita Muallaf & Tindanan Bidang Kuasa Mahkamah Sivil vs Mahkamah Syariah

Wahai Rakyat Malaysia yang prihatin, Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Menurut konsep keperlembagaan, negara Malaysia mempunyai dua (2) set sistem perundangan yang berbeza tapi selari, iaitu sistem undang-undang sivil (termasuk jenayah biasa) dan sistem undang-undang syariah (yang terpakai terhadap orang Islam).

Dalam erti kata lain, kesemua Rakyat Malaysia yang beragama Islam adalah tertakluk kepada kedua-dua set undang-undang tersebut dalam kehidupan harian di negara ini. Walau bagaimanapun, Rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam cuma adalah tertakluk kepada satu (1) set undang-undang, iaitu undang-undang sivil (termasuk jenayah biasa).

Justeru, pada kebiasaannya, akses kepada keadilan dan kehakiman berkaitan dengan kedua-dua set perundangan tersebut adalah juga tersusun kepada dua (2) jenis Mahkamah yang berbeza tetapi selari, dalam erti kata lain, untuk memberikan keadilan mengikut set undang-undang mereka sendiri, iaitu MAHKAMAH SIVIL (termasuk MAHKAMAH JENAYAH biasa) untuk melaksanakan undang-undang svil (termasuk jenayah biasa) dan MAHKAMAH SYARIAH untuk melaksanakan undang-undang  syariah.

Walau bagaimanapun, dalam mana-mana masyarakat majmuk, seperti yang ada di Malaysia, pasti akan berbangkit TINDANAN HAK antara undang-undang sivil dengan undang-undang syariah,  yakni antara  MAHKAMAH SIVIL dan MAHKAMAH SYARIAH, dan MAHKAMAH berkenaanlah yang wajar menentukan medan mana yang wajar nmempunyai HAK untuk menyelesaikan TINDANAN HAK dalam pertikaian itu.

Saya sesungguhnya percaya, walau apa pun usaha diambil dari sudut kerangka Perlembagaan Persekutuan dan Akta Parlimen serta Enakmen Negeri, dari masa ke semasa, “perbalahan” berkaitan TINDANAN HAK antara MAHKAMAH SIVIL dan MAHKAMAH SYARIAH, walaupun boleh cuba dikurangkan, tetapi tidak akan dapat diselesaikan dengan syumul dan keseluruhannya.

Pada hari Khamis yang lalu, 12.01.2023, sekali lagi isu TINDANAN HAK pertikaian antara undang-undang sivil dan undang-undang syariah kembali ke medan MAHKAMAH, di mana berkaitan dengan isu permintaan seorang Muallaf wanita yang diislamkan oleh ibunya semasa usianya dalam lingkungan umur 4/5 tahun, yang kemudiannya di usia pasca umur 30an telah berhasrat untuk memperolehi Perintah yang beliau perlukan untuk dikatakan dia kononnya BUKAN MMUSLIM!

Sebelum daripada ini, mana-mana orang Islam termasuk Muallaf yang ingin kononnya mengatakan dia sebenarnya bukan beragama Islam atau ingin “keluar daripada agama Islam, maka dia WAJIB membawa permohonan berkenaan untuk penentuan keputusan di MAHKAMAH SYARIAH, kerana isu inti pati Islam dan cara-cara seseorang itu boleh dianggap bukan Islam atau sudah keluar daripada Islam (jika ada) adalah menurut hukum agama itu sendiri, iaitu agama Islam.

Namun, pada tahun 2021, dalam kes ROSLIZA BT IBRAHIM vs KERAJAAN NEGERI SELANGOR & ANOR, Mahkamah Tertinggi Sivil, iaitu MAHKAMAH PERSEKUTUAN, yang mempunyai bidang kuasa mutlak untuk membuat tafsiran perundangan bertulis sama ada Perlembagaan Persekutuan, Akta Parlimen mahupun Enakmen Negeri, telah mewujudkan dua kategori berbeza dalam isu permohonan seperti itu, iaitu:

  1. Mereka yang sebenarnya bukan Islam sejak dari asal, hendaklah membuat permohonan yang dia bukannya Islam ke MAHKAMAH SIVIL, manakala
  2. Mereka yang beragama Islam tetapi ingin “keluar dari agama Islam” hendaklah membuat permohonan yang dia ingin keluar agama Islam ke MAHKAMAH SYARIAH.

Yang menariknya dalam kes di hadapan MAHKAMAH RAYUAN untuk Keputusan pada hari Khamis lalu adalah, bahawa wanita Muallaf itu telah sebelum 2021  memfailkan permohonan KELUAR ISLAM ke MAHKAMAH SYARIAH, yang telah ditolak oleh MAHKAMAH SYARIAH dan MAHKAMAH RAYUAN SYARIAH, masing-masing, dan apabila keluarnya keputusan MAHKAMAH PERSEKUTUAN pada tahun 2021 itu, dia telah failkan satu permohonan baharu di MAHAKAMAH SIVIL, kali ini untuk pohon kononnya dia BUKAN ISLAM sejak asal.

Berpaksikan kepada rentetan fakta terbabit secara utama, dan dengan disokong faktor-faktor lain, MAHKAMAH RAYUAN telah membenarkan Rayuan MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR dan KERAJAAN NEGERI SELANGOR, serta batalkan Perintah MAHKAMAH TINGGI KUALA LUMPUR (SIVIL) yang telah sebelum itu membenarkan permohonan yang difailkan wanita muallaf berkenaan.

Ringkasan prosiding di MAHKAMAH RAYUAN pada 12.01.2023 termasuk alasan-alasan ringkas KEPUTUSAN adalah seperti terkandung dalam laporan HMETRO 13.01.2023 bertajuk “Mahkamah benar rayuan MAIS, kerajaan Selangor kembali status agama Islam seorang wanita” yang mana adalah dimuat naik di Ruang Bawah.

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/01/925328/mahkamah-benar-rayuan-mais-kerajaan-selangor-kembali-status-agama-islam#:~:text=Mahkamah%20benar%20rayuan%20MAIS%2C%20kerajaan%20Selangor%20kembali%20status%20agama%20Islam%20seorang%20wanita,-AddThis%20Sharing%20Buttons&text=Putrajaya%3A%20Majlis%20Agama%20Islam%20Selangor,seorang%20wanita%20berusia%2037%20tahun.

DEMI AGAMA DAN NEGARA TERCINTA!!!

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )