KOLUMNIS HANIFF KHATRI: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tidak Sesuai Diadakan Secara Gopoh Dalam Kontroversi Kapal LCS

KOLUMNIS HANIFF KHATRI: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tidak Sesuai Diadakan Secara Gopoh Dalam Kontroversi Kapal LCS

Wahai Rakyat Malaysia yang prihatin, Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Sejak tercetusnya pendedahan Laporan PAC pada 04.08.2022 berkaitan KONTROVERSI KAPAL LCS TLDM, terdapat pelbagai pihak yang memberikan pelbagai pendapat berhubung cadangan proses dan prosedur yang perlu untuk menangani dan menyelesaikan kontroversi ini.

Antara cadangan yang diutarakan oleh para pemimpin politik adalah untuk ditubuhkan satu SURUHANJAYA SIASATAN DIRAJA (RCI) bagi tujuan tindakan lanjut seperti yang diutarakan oleh Pemuda UMNO, BERSATU dan juga PAKATAN HARAPAN.

Dalam pendapat perundangan saya, daripada segi karakter dan bidang kuasa mana-mana RCI yang boleh ditubuhkan adalah teramat terhad, kerana ianya cuma berperanan di hujung tempoh inkuirinya untuk cuma memberikan REKOMENDASI untuk tindakan lanjutan, yang cuma akan memperlambatkan siasatan-siasatan jenayah yang pada masa kini sudahpun dimulakan oleh pihak berkuasa sehinggakan dilaporkan SPRM sudahpun memajukan KERTAS SIASATAN kepada Pejabat Peguam Negara bagi tujuan arahan dan tindakan lanjut pihak berkenaan!

Justeru, adalah lebih efisien dalam penyelesaian mana-mana kontroversi urus tadbir negara, di mana siasatan pihak berkuasa sudah bermula, untuk siasatan itu diteruskan, ditamatkan dan keputusan berkaitan pendakwaan ataupun tidak, dapat sesegera mungkin diumumkan oleh Pejabat Peguam Negara, tanpa perlu perkara itu diikat dan dikekang di tahap ini, melalui pengadaan INKUIRI dan seterusnya pengeluaran  REKOMENDASI semata-mata melalui penubuhan mana-mana RCI yang akan cuma melambatkan proses siasatan dan dakwaan berkenaan, jika ada.

Ya, sememangnya selepas pihak berkuasa membuat keputusan dan mengumumkan tindakan muktamad berkaitan keberjenayahan kontroversi ini, maka RCI masih boleh dan besar kemungkinan perlu untuk ditubuhkan bagi tujuan dirujuk terma-terma INKUIRI dan REKOMENDASI berhubung permasalahan dan pembaikpulihan proses bekalan jentera dan senjata serta keperluan  ketenteraan pasukan keselamatan negara yang perlu dilihat dan diselidiki melalui proses yang sulit dan rumit nanti. Namun, masa RCI bukannya sekarang!

Berkaitan kekhuatiran beberapa pihak berkaitan keperluan isu ketenteraan dan keselamatan negara dikendalikan secara sulit, perkara itu tidak dinafikan, tertakluk kepada beberapa perkara berikut:

  1. Pada hakikatnya, daripada Laporan PAC yang sudahpun didedahkan kepada masyarakat umum, ianya jelas bahawa isu berkaitan keberjenayahan atau sebaliknya, mahupun kecuaian atau sebaliknya, BOLEH dan DAPAT diuruskan dengan baik, tanpa keperluan mencampuri perkara-perkara SULIT dan RAHSIA KETENTERAAN mahupun KESELAMATAN negara berhubung dengan TAKTIK KETENTERAAN ataupun ‘DESIGN’ mahupun REKACIPTA dan SENJATA yang terlibat berkaitan KAPAL LCS TLDM yang berkenaan!, dan
  2. Jikapun, siasatan keberjenayahan atau kecuaian berkaitan kontroversi KAPAL LCS TLDM, mungkin melibatkan ataupun bertindan dengan mana-mana perkara SULIT dan RAHSIA berkaitan dengan KETENTERAAN dan KESELAMATAN sekalipun, kita masih mempunyai peruntukan-peruntukan AKTA SOSMA 2012 (Akta 747) yang boleh digunakan semasa siasatan dan dakwaan serta perbicaraan untuk tidak mendedahkan perkara-perkara yang melibatkan isu-isu strategi KETENTERAAN dan KESELAMATAN sekalipun, jikapun ada, sekiranya dibiarkan pihak-pihak berkuasa yang mempunyai kepakaran yang berkaitan diizinkan untuk meneruskan proses biasa mereka, tanpa gangguan penubuhan RCI, pada masa ini!

Beberapa hari lalu, seorang rakan pemberita telah meminta pandangan saya berkaitan perkara ini, dan pandangan saya itu yang bertentangan dengan antara pandangan lain yang kononnya menyokong pembentukan RCI itu telah dipetik dan dilaporkan UTUSAN MALAYSIA 12.08.2022 bertajuk “RCI jalan terbaik elak rahsia negara terdedah”:

UTUSAN MALAYSIA 12.08.2022 : ‘RCI jalan terbaik elak rahsia negara terdedah’ – Haniff Khatri:

“Dalam pada itu, nada berbeza disuarakan Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang berpendapat RCI tidak sesuai ditubuhkan bagi kes yang melibatkan jenayah dan bagi projek LCS, adalah lebih baik siasatan dilakukan SPRM sebelum pertuduhan dibuat Peguam Negara.

“Bagi saya tidak sesuai, kita biarkan SPRM lakukan siasatan secara terperinci dahulu tentang kes ini dan hasil siasatan serahkan kepada Peguam Negara untuk pendakwaan. RCI ini lebih sesuai ditubuhkan selepas kes selesai untuk proses penambahbaikan,” katanya.

DEMI AGAMA DAN NEGARA TERCINTA!!!

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )