KOLUMNIS HANIFF KHATRI: Surat Terbuka Kepada Peguam Negara Berkaitan Kes Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim !!

KOLUMNIS HANIFF KHATRI: Surat Terbuka Kepada Peguam Negara Berkaitan Kes Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim !!

Wahai Rakyat Malaysia yang prihatin,

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera:

SURAT TERBUKA KEPADA PEGUAM NEGARA BERKAITAN KES ALLAHYARHAM MUHAMMAD ADIB MOHD KASSIM !!

Ke hadapan

Yang Berbahagia Tan Sri Idrus Harun

Peguam Negara Malaysia

PER : PERKEMBANGAN MUTAKHIR HASIL SIASATAN POLIS PASKA KEPUTUSAN INKUES DALAM KES KEMATIAN ALLAHYARHAM MUHAMMAD ADIB MOHD KASSIM (ALLAHYARHAM ADIB) !!

Saya merujuk kepada perkara di atas dan Laporan MALAYSIAKINI bertarikh 15.02.2021 bertajuk “Peguam negara: Sabar, kami akan buat keputusan kes Adib nanti”.

Laporan MALAYSIAKINI itu telah antara lain memetik Tan Sri sebagai mengatakan:

“Tunggu dan sabar, kami akan buat keputusan nanti,” kata Peguam Negara, Idrus Harun.

Itu adalah reaksi Idrus ketika diminta mengulas perkembangan terkini kes kematian anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Masih belum nampak sebarang pengakhiran, pelbagai pihak kembali membangkitkan kes tersebut sejak beberapa hari lalu.

Bagaimanapun, Idrus tidak menyatakan secara khusus berapa lama lagi tempoh diperlukan Jabatan Peguam Negara untuk membuat keputusan berkenaan.”

Dalam Laporan MALAYSIAKINI yang sama, ianya juga memetik kenyataan Tan Sri Abdul Hamid Bador, Ketua Polis Negara berkaitan perkara yang sama seperti berikut :

“Sementara itu, ketika diminta mengulas isu sama Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador memberitahu Malaysiakini hanya Jabatan Peguam Negara yang boleh melaporkan status kes berkenaan.

Ketika ditanya adakah ia bermaksud polis sudah melengkapkan siasatan dan hanya menunggu keputusan peguam negara, Abdul Hamid berkata ringkas: “Pihak peguam negara akan keluarkan kenyataan.”

Seperti yang Tan Sri sedia maklum ianya sudah SATU BULAN SETENGAH sejak tarikh Laporan MALAYSIAKINI itu diterbitkan pada 15.02.2021, namun saya sebagai seorang Peguambela dan Rakyat Malaysia percaya, selepas itu belum ada apa-apa kenyataan lanjut yang dikeluarkan oleh Pejabat Tan Sri berkenaan perkara ini.

Seperti Tan Sri juga sedia maklum, rentetan peristiwa yang matan dalam kronologi kes ALLAHYARHAM ADIB ini adalah seperti berikut 27.11.2018 – Rusuhan hari kedua di kawasan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, Petaling, Selangor yang telah menyaksikan kecederaan parah anggota bomba ALLAHYARHAM ADIB yang bertugas di Balai Bomba Subang Jaya.

a.    17.12.2018 – ALLAHYARHAM ADIB menghembuskan nafas terakhirnya ketika dalam rawatan rapi di IJN.

b.   27.12.2018 – Laporan Media mengesahkan Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas telah memaklumkan hasrat untuk mengguna pakai peruntukan Seksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah bagi tujuan meminta Mahkamah Inkues bersidang dalam membuat inkuiri bagi mengenalpasti “PUNCA KEMATIAN” ALLAHYARHAM ADIB.

c.   01.02.2019 sehingga 27.09.2019, – MAHKAMAH INKUES telah bersidang selama 41 hari prosiding, di mana seramai 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar serta bapa 1.02.2019 sehingga 27.09.2019, selama 41 hari prosiding, di mana seramai 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar serta bapa ALLAHYARHAM ADIB, Mohd Kassim Abdul Hamid, telah dipanggil memberi keterangan dan sebanyak 137 bahan bukti telah dikemukakan untuk membantu mencapai keputusan mengenalpasti “PUNCA KEMATIAN” ALLAHYARHAM ADIB.

d.   27.09.2019 – MAHKAMAH INKUES telah dalam memberi Keputusan bahawa “PUNCA KEMATIAN” Allahyarham Adib adalah ” …akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali… “, seperti yang dipetik oleh BH ONLINE 27.09.2019 bertajuk “Kematian Muhammad Adib akibat perbuatan jenayah – Mahkamah Koroner”, antara lain telah berkata bahawa :

“Mahkamah Koroner di sini, hari ini, memutuskan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Koroner Rofiah Mohamad ketika membacakan keputusan itu berkata, keterangan saksi ke-29, Perunding Kanan Patologi Forensik di United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid, bahawa mangsa dihentak dan diseret keluar dari van bomba pada masa kejadian, boleh diterima serta ada asas, selain ia disokong saksi ke-30 yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Amir Radzi Ab Ghani.

Berikutan itu, beliau menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Peguam Negara untuk melakukan siasatan dan pendakwaan.”

Kerajaan pada ketika itu melalui Menteri Dalam Negeri Muhyiddi Yassin, telah membuat kenyataan seperti yang dipetik Astro Awani 27.09.2019 :

“Kerajaan menerima keputusan inkues kematian Allahyarham dan menyerahkan kepada pihak PDRM untuk meneruskan siasatan kes ini menurut undang-undang jenayah negara,…”

Antara 21.06.2020 sehingga 15.02.2021 – terdapat pelbagai kenyataan yang tidak selari dan ada juga yang bercanggah yang dikeluarkan oleh pelbagai pihak berkaitan kes ini, termasuk oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Hj Takiyuddin Hassan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin, serta juga sekumpulan lapan peguam yang mewakili keluarga Allahyarham Adib semasa prosiding di Mahkamah Inkues, dan akhirnya dituruti dengan Laporan MALAYSIAKINI 15.02.2021 yang dirujuk di atas.

Seperti yang Tan Sri sudah sedia maklum, setakat pada tarikh surat ini, sudah lebih DUA (2) TAHUN EMPAT (4) BULAN berlalu sejak kematian ALLAHYARHAM ADIB pada 17.11.2018, dan sudah lebih SATU (1) TAHUN ENAM (6) BULAN sejak Keputusan MAHKAMAH INKUES pada 27.09.2019 dan juga sudah SATU (1) BULAN SETENGAH sejak kenyataan terakhir Tan Sri bahawa Pejabat Tan Sri akan membuat keputusan muktamad, seperti yang dilaporkan oleh Laporan MALAYSIAKINI 15.02.2021 itu, namun kesemua pihak yang terkesan terutamanya keluarga ALLAHYARHAM ADIB serta majoriti Rakyat Malaysia yang prihatin masih menanti keputusan muktamad kes ALLAHYARHAM ADIB ini.

Tan Sri dengan penuh rendah diri saya menyatakan sejujurnya, sekiranyalah dan pada hakikatnya, pihak polis dalam siasatan mereka sememangnya tidak dapat kenal pasti identiti mana-mana individu yang menyebabkan perbuatan jenayah yang akibatkan kematian Allahyarham Adib itu, mahupun jika mereka yang dikenal pasti tidak kini dapat ditahan atau diberkas atas apa sebab fizikal sekalipun,  maka pemberian satu penjelasan yang lengkap dan telus daripada Pejabat Tan Sri akan dapat diterima oleh keluarga ALLAHYARHAM ADIB dan Rakyat Malaysia yang prihatin kerana :

  1. jawaban yang betul dan benar jika pada hakikatnya ia adalah dijelaskan dengan telus dan ikhlas, dan bukannya “sekadar melepaskan batuk di tangga” dan tanpa kelengahan lanjut, akan memberi keyakinan kepada kesemua pihak bahawa pihak Polis DiRaja Malaysia dan Pejabat Tan Sri sememangnya konsisten dalam pematuhan prinsip kedaulatan undang-undang, dan keyakinan secara pasti dapat kembali dipulihkan,
  2. Rakyat Malaysia yang prihatin yang juga termasuk keluarga ALLAHYARHAM ADIB sedia tahu dan dapat terima hakikat sebenar bahawa dalam sesetengah jenayah terpencil yang berlaku, walaupun ada mangsa yang terjejas dan jenayah sememangnya berlaku, namun tidak semestinya penjenayah terbabit dapat dikenal pasti atau diberkas dan dibawa ke muka keadilan atas sebab-sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan.
  3. Apa yang paling penting dalam hal keadaan kes seperti ini, adalah satu PENYELESAIAN MUKTAMAD yang JUJUR, IKHLAS dan TELUS yang meletakkan NOKTAH kepada kes ALLAHYARHAM ADIB ini supaya keluarga ALLAHYARHAM ADIB dapat meneruskan saki baki kehidupan dengan kepastian mengetahui kesudahan kes ini, dan itu akan sedikit sebanyak memberi ketenangan kepada jiwa mereka yang jauh lebih baik dari keadaan sekarang yang tergantung-gantung tanpa kesudahan.

Saya berharap Tan Sri dapat menerima kandungan surat ini dengan hati yang terbuka daripada seorang Rakyat Malaysia yang juga bekerjaya sebagai Peguam, yang cuma ingin kehormatan dan keyakinan Rakyat Malaysia kepada sistem kedaulatan undang-undang sentiasa diyakini dengan teguh dan terus-menerus. Itu sahaja.

Di atas perhatian dan kerjasama pihak Tan Sri di dalam perkara ini, saya dahului dengan ucapan ribuan terima kasih.

Sekian.

Yang Benar,

Haniff Khatri

Seorang Rakyat Malaysia & Peguam.

DEMI AGAMA DAN NEGARA TERCINTA !!!

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )