KOLUMNIS HANIFF KHATRI: Siasatan DOJ Berhubung Kesalahan Jenayah Kewangan Amerika Syarikat Tiada Kaitan Terus Dengan Siasatan, Pendakwaan & Sabitan (Jika Ada) Berkaitan Jenayah 1MDB Di Malaysia

KOLUMNIS HANIFF KHATRI: Siasatan DOJ Berhubung Kesalahan Jenayah Kewangan Amerika Syarikat Tiada Kaitan Terus Dengan Siasatan, Pendakwaan & Sabitan (Jika Ada) Berkaitan Jenayah 1MDB Di Malaysia

Wahai Rakyat Malaysia yang prihatin, Assalamualaikum dan Salaam Sejahtera.

Sejak bertahun lalu, dan masih ditularkan berulang kali di media sosial KONONnya  Department of Justice (DOJ) Amerika Syarikat telah menemui bukti terdapat pembabitan bekas Peguam Negara iaitu, Lorreta Lynch yang didapati bersekongkol dengan beberapa individu penting dari Malaysia untuk hanya menjatuhkan DS Najib Razak berkaitan tuduhan 1MDB.

Tengahari Jumaat 06.05.2022, seorang rakan pemberita telah menghubungi saya untuk meminta pandangan berkaitan isu berkenaan, dan sama ada ianya mempunyai kaitan langsung dengan siasatan, pendakwaan dan sabitan sesiapa yang dituduh di Malaysia berkaitan jenayah 1MDB, termasuk dan tidak terhad kepada NAJIB RAZAK.

Penjelasan saya itu telah dipetik dan dilaporkan SINAR PREMIUM 06.05.2022 bertajuk ” ‘Berhenti kelirukan rakyat, ini dua kes berbeza’ “, yang mana adalah dimuat naik di Ruang Bawah.

SINAR PREMIUM 06.05.2022 : ‘Berhenti kelirukan rakyat, ini dua kes berbeza’ – Haniff Khatri :

“Semua pihak perlu berhenti mengelirukan rakyat berhubung kes salah laku jenayah dilakukan bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak dengan siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sedang dijalankan oleh Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) sekarang.

Ini kerana menurut pandangan, Peguam Kanan Haniff Khatri Abdulla, kes 1MDB sedang disiasat DoJ di AS sekarang tiada kaitan perundangan langsung perbicaraan kes jenayah dihadapi Najib di mahkamah Malaysia.

Tambahan pula, kata Haniff Khatri, setiap negara mempunyai sistem perundangan dan kehakiman tersendiri serta bertanggungjawab menyiasat kesalahan jenayah yang berlaku dalam bidang kuasa masing-masing.

Beliau berkata apa sahaja disiasat DoJ sejak 2016 adalah kesalahan membabitkan sesiapa sahaja berkaitan dengan kesalahan di bawah undang-undang kewangan di Amerika Syarikat.

“Jika mereka tidak jumpa kesalahan jenayah kewangan terhadap Najib adalah kerana wang yang masuk-keluar ke AS bersabit dengan kes 1MDB adalah tidak disumbangkan secara terus melalui tindakan Najib.

“Ini kerana perbuatan itu dilakukan oleh penjenayah lain terbabit pengeluaran wang secara salah oleh individu seperti Jho Low (ahli perniagaan dalam buruan polis), Roger Ng (bekas Pegawai Bank Goldman Sachs), Pengarah Petrosaudi International Ltd (PSI), Tarek Obaid dan ramai lagi Pegawai Bank dari AS, dan termasuk pemberian sejumlah wang untuk terbitan filem kepada anak tiri Najib iaitu Riza Shahriz Abdul Aziz dan sebagainya.

“Manakala, siasatan terhadap Najib di negara ini adalah berkaitan dengan kes jenayah kewangan dilakukan di Malaysia iaitu sama ada 1MDB sudah kehilangan duit atau dana. Malah, setakat ini Najib didapati bersalah dan sudah dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Tinggi di Malaysia berhubung kes SRC International Sdn Bhd (SRC) dan bicara pertuduhan jenayah kes 1MDB masih berjalan,” katanya ketika dihubungi wartawan Sinar Premium.

Malah, Haniff Khatri berkata Najib tidak boleh dituduh di mahkamah di AS kerana Ahli Parlimen Pekan dan bekas Presiden UMNO itu tidak melakukan sebarang kesalahan berkaitan kes rasuah dan pecah amanah dana 1MDB di AS sebaliknya ia berlaku di Malaysia.

Haniff Khatri berkata biarpun DoJ dikatakan sedang menyiasat bekas Peguam Negara Amerika Loretta Lynch, yang dikatakan bersubahat dengan individu berniat jahat untuk menjatuhkan Najib, maka negara itu bertanggungjawab melakukan siasatan dan mengambil tindakan kepada pihak berkenaan.

Beliau berkata jika ada pun siasatan dan tindakan lanjut terhadap Loretta oleh pihak berkuasa di AS maka ia tidak menjejaskan kes jenayah membabitkan Najib yang sedang dibicarakan di mahkamah di Malaysia ketika ini.

“Umpama awak dan saya bawa kereta berasingan dan melanggar lampu isyarat, kemudian ada tiga anggota polis yang memang tidak suka dengan muka saya. Jadi mereka naik motor kejar dan tahan saya, serta membiarkan awak pergi begitu sahaja. Adakah tindakan anggota polis berkenaan membiarkan awak pergi boleh menjadi alasan pembelaan terhadap saya di mahkamah? Jawapannya tidak sama sekali.

“Begitu juga dalam kes Najib sama ada DoJ menyiasat beliau atau sebaliknya tidak boleh menjadi pembelaan kepada kes bekas Perdana Menteri itu di mahkamah Malaysia kerana beliau dituduh berkaitan kesalahan yang berlaku di sini.

“Jadi rakyat kena faham bahawa orang memetik sedikit atau 0.01 peratus bersandarkan laporan dan fakta siasatan DoJ berkenaan adalah mungkin berniat jahat dan tidak faham undang-undang,” katanya.

Justeru itu, Haniff Khatri berkata, rakyat kena faham bahawa siasatan dilakukan DoJ adalah berlainan dengan kes jenayah dihadapi Najib di mahkamah di Malaysia sekarang.

“Jika DoJ mahu meneruskan siasatan terhadap Lorreta Lynch atau mana-mana ahli politik Malaysia yang dikatakan berniat jahat terhadap Najib maka mereka patut teruskan tetapi ia tidak berkaitan langsung dengan kes salah laku jenayah berkaitan SRC International mahupun 1MDB yang sedang dibicarakan di mahkamah di Malaysia,” katanya.”

DEMI AGAMA DAN NEGARA TERCINTA!!!

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )