KOLUMNIS HANIFF KHATRI: Rakyat Wajib Diberitahu Ada Atau Tidak Libat Urus Diadakan Dengan Pihak Awam/NGO/Peguam Dalam Penelitian RUU Anti Lompat Parti

KOLUMNIS HANIFF KHATRI: Rakyat Wajib Diberitahu Ada Atau Tidak Libat Urus Diadakan Dengan Pihak Awam/NGO/Peguam Dalam Penelitian RUU Anti Lompat Parti

Wahai Rakyat Malaysia yang prihatin, Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Pada 11.04.2022, pembentangan RUU PERLEMBAGAAN (PINDAAN) 2022 dan RUU ANTI LOMPAT PARTI 2022 telahpun ditangguhkan untuk menentukan setiap pindaan yang perlu dalam RUU PERLEMBAGAAN (PINDAAN) 2022 mahupun maksud dan takrif “lompat parti” yang akibatkan “hilang kerusi” di dalam RUU ANTI LOMPAT PARTI 2022 juga digubal dengan lengkap, adil dan saksama, diserahkan untuk penelitian Jawatankuasa Pilhan Khas Parlimen yang mengandungi 11 Ahli Dewan Rakyat yang bebas menjemput dan menerima cadangan daripada kesemua pihak ketiga yang perlu.

MALAYSIAKINI 11.04.2022 bertajuk “Undi ditangguh untuk bolehkan PSC perhalusi RUU” telah antara lain melaporkan :

“Anggota Dewan Rakyat tidak dapat mengundi rang undang-undang (RUU) pindaan perlembagaan yang dibentangkan pada mesyuarat khas hari ini.

Sebaliknya, Dewan Rakyat memutuskan untuk membentuk Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) yang baharu bagi memperhalusi RUU yang bertujuan mengelakkan ahli parlimen daripada bertukar parti.

Seperti jawatankuasa pilihan lain, PSC baharu ini boleh menjemput ahli parlimen, pakar undang-undang dan pihak lain yang berminat dalam pendengaran mereka.

Menurut kenyataan Majlis Presiden PH, Ismail telah menyatakan komitmen untuk memanggil satu lagi sidang khas Dewan Rakyat sebelum akhir Mei ini.”

(Link Laporan : https://www.malaysiakini.com/news/617698)

Pada hari ini, 09.06.2022 pula MALAYSIAKINI bertajuk “PM: Tiada keperluan mesyuarat khas parlimen bahas RUU lompat parti” telah memetik Perdana Menteri ISMAIL SABRI YAAKOB berkata :

“Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan tiada keperluan untuk mengadakan mesyuarat khas Dewan Rakyat bagi membentang dan membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan peruntukan larangan ahli parlimen bertukar parti.

Sebaliknya, RUU itu akan dibentangkan semasa mesyuarat kedua Dewan Rakyat yang dijadualkan bermula pada 18 Julai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Perdana Menteri membuat keputusan itu memandangkan ramai ahli parlimen yang berada di luar negara atas urusan rasmi pada ketika ini sehingga pertengahan Julai.

Wan Junaidi berkata faktor lain dipertimbangkan Perdana Menteri ialah penjimatan wang kerajaan dalam melaksanakan mesyuarat khas parlimen bagi kedua-dua Dewan yang menurutnya boleh digunakan untuk membantu kelangsungan hidup rakyat.

Wan Junaidi berkata walaupun mesyuarat khas itu tidak akan diadakan, ahli parlimen mempunyai masa mencukupi untuk meneliti RUU itu semasa sidang dewan yang bermula 18 Julai”

(Laporan lengkap MALAYSIAKINI 09.06.2022 bertajuk “PM: Tiada keperluan mesyuarat khas parlimen bahas RUU lompat parti” adalah dimuat naik di Ruang Bawah).

https://www.malaysiakini.com/news/624055

Terdapat satu PERSOALAN UTAMA yang perlu dijawab oleh Perdana Menteri ISMAIL SABRI YAAKOB dan Menteri Parlimen & Undang-Undang WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR iaitu :

“Adakah JANJI Kerajaan semasa penubuhan Jawatankuasa Pilhan Khas Parlimen yang mengandungi 11 Ahli Dewan Rakyat telah dibenarkan jemput/panggil atau telah menjemput/memanggil kesemua pihak ketiga yang perlu iaitu,  ahli parlimen lain, pakar undang-undang dan pihak lain yang berminat dalam pendengaran perkara itu?”

Ianya adalah teramat penting bahawa Kerajaan menjawab PERSOALAN ini atas alasan-alasan lanjut berikut :

  1. Memandangkan JANJI pada 11.04.2022 untuk adakan sidang khas Dewan Rakyat sebelum akhir Mei yang lalu telah tidak kini dipenuhi, dan menyebabkan kehilangan peluang untuk ahli-ahli parlimen lain yang tidak berada dalam Jawatankuasa Pilhan Khas Parlimen itu untuk meneliti dan memberi cadangan lanjutan sebelum RUU PERLEMBAGAAN (PINDAAN) 2022 dan RUU ANTI LOMPAT PARTI 2022 itu dibentangkan pada bulan Julai 2022 kelak, dan
  2. Sememangnya kandungan RUU PERLEMBAGAAN (PINDAAN) 2022 dan RUU ANTI LOMPAT PARTI 2022 adalah berkenaan kepentingan ahli parlimen yang menyebabkan “konflik kepentingan” ahli parlimen maka ianya adalah WAJIB disemak dan diimbang oleh wakil-wakil masyarakat supaya RUU PERLEMBAGAAN (PINDAAN) 2022 dan RUU ANTI LOMPAT PARTI 2022 yang bakal diluluskan kelak, sebenar-benarnya mencapai hasrat dan aduan RAKYAT SEJAGAT, dan bukannya satu lagi bentuk undang-undang yang hanya “INDAH KHABAR DARI RUPA”!

Sekiranya JAWABAN kepada PERSOALAN UTAMA yang dinyatakan di Perenggan 4 di atas adalah “TIDAK”, maka ianya adalah teramat penting bahawa sesegera mungkin pihak Kerajaan dedahkan deraf RUU PERLEMBAGAAN (PINDAAN) 2022 dan RUU ANTI LOMPAT PARTI 2022 kepada kesemua pihak luar yang berkepentingan seperti Majlis Peguam dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), sekurang-kurangnya SATU (1) BULAN sebelum tarikh pembentangan, untuk penelitian dan cadangan yang perlu dapat dimajukan mereka melalui Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang akan berbahas semasa ianya dibentangkan kelak.

Jika, TIDAK, maka bagi saya sebagai seorang pengamal undang-undang malangnya sekali lagi Kerajaan membuktikan bahawa kata-kata Perdana Menteri ISMAIL SABRI YAAKOB dan Menteri Parlimen & Undang-Undang WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR adalah pada hakikatnya “CAKAP TAK SERUPA BIKIN!!”

DEMI AGAMA DAN NEGARA TERCINTA!!!

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )